SEKITAR 30,000 pekerja migran yang menetap di 30 dormitori dijadual menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 mereka dalam beberapa minggu mendatang.
Menteri Kedua Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata fasa pertama latihan vaksinasi sudah pun selesai dengan 97 peratus daripada 9,000 pekerja yang layak telah menerima suntikan dos pertama mereka.
Dimulakan dua minggu lalu, ia mensasarkan 10,000 penduduk di lima dormitori pekerja terbesar di sini.
Suntikan vaksin diberi di pusat perubatan dormitori yang terlibat dan penduduk akan menerima suntikan dos kedua mereka bulan depan.
Dr Tan berkata respons kepada pusingan pertama vaksinasi tersebut adalah "luar biasa".
"Langkah selanjutnya adalah untuk membuka kepada dormitori besar lain juga...dan perlahan-lahan, (dormitori) yang lain pula," katanya.
Beliau menambah bahawa pelonggaran sekatan bagi penduduk dormitori akan diumumkan kelak setelah lebih ramai mereka divaksinasi. - The Straits Times