35% pemohon bantuan badan amal hilang pendapatan dek Covid-19, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

35% pemohon bantuan badan amal hilang pendapatan dek Covid-19

Laporan usul rebat 50 peratus bayaran flat sewa dilanjut dan dikurang; program pelega hutang diperkenal
Feb 10, 2021 | 05:30 AM

SEKITAR 35 peratus pemohon dana bantuan kewangan yang ditawarkan badan amal, Beyond Social Services, hilang pendapatan isi rumah selepas krisis Covid-19 melanda.

Pendapatan isi rumah purata dalam kalangan pemohon pula didapati turun daripada $1,600 sebelum Covid-19 kepada $500 selepas pandemik berlaku - satu kemerosotan 69 peratus.

Demikian antara dapatan kajian yang dijalankan Beyond Social Services ke atas 1,231 pemohon Dana Bantuan Keluarga (FAF) Covid-19 dari April hingga September lalu.

Kajian itu bertujuan memahami dengan lebih baik isu yang dihadapi masyarakat serta kesan ekonomi krisis itu.

Dapatan kajian tersebut dikongsi di satu sidang media semalam.

Berita Popular

FAF ditubuhkan Mac lalu untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.

Hingga September lalu, Beyond Social Services telah menyalurkan bantuan kewangan lebih $3 juta kepada lebih 1,900 keluarga.

Kajian yang dijalankan itu mendapati kebanyakan pemohon berusia 30-an hingga 50-an tahun, dan 77 peratus pemohon mempunyai anak berusia 18 tahun dan ke bawah.

Sekitar 54.5 peratus daripada mereka bekerja, dengan kebanyakannya melakukan kerja bergaji rendah dan tidak menentu, dan ratarata bertugas dalam industri perkhidmatan.

Lagi 29 peratus pemohon pula tidak bekerja dan mencari kerja, manakala baki 16.5 peratus tidak bekerja dan tidak mencari kerja.

Kajian itu juga mendapati seramai 80 peratus pemohon FAF tinggal di flat sewa dengan pelbagai bayaran sewa dari bawah $50 kepada lebih $500.

"Bayaran sewa sebagai peratusan pendapatan isi rumah naik lebih dua kali ganda disebabkan oleh kemerosotan dalam pendapatan isi rumah, menambahkan tekanan kewangan bagi isi rumah," kata laporan itu.

Sementara itu, sekitar 54 peratus pemohon berkata isi rumah mereka belum dapat melunaskan hutang seperti bagi sewa rumah, bil api air, bil telefon dan lain-lain.

Dengan penurunan pendapatan yang mendadak, hutang isi rumah sedemikian dijangka akan bertambah, kata laporan itu.

Bagi mengurangkan cabaran kewangan yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah serta memastikan sokongan lebih baik bagi pekerja bergaji rendah, laporan itu mengemukakan saranan seperti mengukuhkan hak pekerjaan dan perlindungan sosial bagi pekerja bergaji rendah.

Laporan itu turut menyarankan agar rebat 50 peratus bagi sewa tiga bulan yang diumumkan HDB Oktober lalu dapat dilanjutkan bagi mereka yang menetap di flat sewa awam, dan supaya bayaran sewa dapat dikurangkan lagi.

"Pengurangan itu harus mencerminkan penurunan pendapatan yang curam," kata laporan itu.

Ia turut menyarankan agar program pelega hutang diperkenal.


DAPATAN KAJIAN KE ATAS PENERIMA DANA BANTUAN KELUARGA (FAF)

Pendapatan purata isi rumah sebelum Covid-19: $1,600

Pendapatan purata isi rumah selepas Covid-19: $500

Pendapatan purata per kapita sebelum Covid-19: $425

Pendapatan purata per kapita selepas Covid-19: $113

Pendapatan isi rumah bagi 35 peratus pemohon FAF turun ke $0 selepas Covid-19

54 peratus keluarga mempunyai hutang

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map