Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEMINAR RRG KE-16

37 disiasat pihak berkuasa S'pura, 16 warga asing dihantar pulang

Nov 25, 2020 | 05:30 AM



PIHAK berkuasa telah menyiasat 37 orang - termasuk 16 warga asing yang telah dihantar pulang ke negara masing-masing - sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan yang dipertingkat menyusuli serangan pengganas di Perancis dan beberapa negara lain baru-baru ini, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).



Seorang pekerja binaan Bangladesh berusia 26 tahun, Ahmed Faysal, yang radikal turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2 November lalu bagi kegiatan berkaitan pengganasan.



Menurut kenyataannya, MHA berkata 37 orang yang disiasat itu termasuk 14 warga Singapura dan 23 warga asing.



Mereka menarik perhatian pihak berkuasa kerana disyaki memiliki kecenderungan radikal, membuat komen yang menggalak keganasan atau kekacauan antara kaum.



Khususnya, kebanyakan mereka antara lain menyokong perbuatan memenggal kepala guru sekolah Perancis, Encik Samuel Paty, serta serangan yang berlaku selepas itu di Perancis dan beberapa negara lain, menurut MHA.



Tambahnya, mereka juga menggalak keganasan terhadap Perancis atau Presiden Perancis Emmanuel Macron kerana pemerintah Perancis mempertahan kartun mempersenda Nabi Muhammad saw yang diterbitkan majalah Charlie Hebdo.



Sementara itu, segelintir mereka membuat komen menghina Muslim.



Seramai 16 warga asing - 15 warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia - dihantar pulang ke negara masing-masing selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) selesai menjalankan siasatan.



Warga Malaysia itu didapati radikal dan ingin pergi ke Syria atau Palestin untuk menyertai keganasan bersenjata.



Seramai 15 warga Bangladesh itu pula, yang kebanyakannya bekerja dalam industri binaan, membuat kenyataan yang menggalak keganasan atau kekacauan antara kaum di media sosial sebagai respons kepada serangan pengganas di Perancis baru-baru ini.



Siasatan terhadap baki tujuh warga asing masih dijalankan.



Siasatan juga masih dijalankan terhadap 14 warga Singapura - 10 lelaki dan empat wanita berusia antara 19 dengan 62 tahun - yang kebanyakannya membuat kenyataan yang menggalak keganasan atau kekacauan antara kaum di media sosial sebagai respons kepada serangan pengganas di Perancis itu.



Sementara sebilangan kecil mereka yang disiasat membuat komen dalam perbincangan yang sama di media sosial, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain.



"Sehingga kini, tiada tanda untuk menunjukkan bahawa individu ini sedang merancang serangan atau tunjuk perasaan di Singapura," kata MHA.



Dalam kenyataannya, MHA menarik perhatian beberapa serangan pengganas di Perancis sejak penerbitan semula kartun yang mempersenda Nabi Muhammad saw oleh majalah Charlie Hebdo di Perancis pada 1 September lalu, termasuk kejadian melibatkan Encik Paty.



Selain itu, beberapa serangan lain terhadap kepentingan Perancis dan Barat turut berlaku di tempat lain termasuk Jeddah, Arab Saudi dan Vienna, Austria.



"Satu suasana anti-Perancis juga dapat dirasakan di beberapa negara, termasuk menerusi tunjuk perasaan secara besar-besaran dan gesaan boikot serta jumlah retorik pengganasan yang bertambah di dalam talian," ujar MHA.



Tambahnya, perkembangan terkini di Eropah dan Singapura itu mengingatkan orang ramai bahawa ancaman pengganasan masih wujud dan Home Team terus berwaspada serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyokong keganasan.



Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah mempertingkat rondaan dan langkah keselamatan mereka.



Namun menurut MHA, masyarakat juga memainkan peranan penting memastikan Singapura kekal selamat.



Orang ramai yang mengesyaki sesiapa menjadi radikal atau terlibat dalam kegiatan berkaitan pengganasan harus menghubungi talian hotline Pusat Memerangi Pengganasan ISD di 1800-2626-473 (1800-2626-ISD).



Dalam surat makluman kepada pekerja asing di sini berhubung kejadian di Perancis baru-baru ini, pihak berkuasa antara lain menekankan bahawa Singapura tidak menerima sebarang tindakan keganasan dan sesiapa yang melakukan atau menggalak keganasan boleh dipenjara, didenda dan dilarang memasuki Singapura tanpa batas waktu.



Surat tersebut juga mengingatkan mereka agar menjauhi kegiatan ekstremis, tidak menyertai atau menganjurkan kegiatan berkaitan kejadian di Perancis serta tidak mengimport politik asing ke Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >