Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Ada dua ijazah, tapi jadi pegerai jual juadah $2.50

Lulusan sarjana muda undang-undang dan ekon NUS perkenal inisiatif di gerai keluarga bagi bantu golongan susah
May 14, 2023 | 05:30 AM



LIDAHNYA kelu apabila salah seorang pelanggan di gerainya mengeluarkan duit nota $2 sambil bertanya apa yang beliau boleh beli dengan $2 kerana itu sahaja yang beliau miliki pada masa itu.



Semasa membantu di gerai ibu bapanya yang terletak di Pusat Makanan Jalan Kukoh pada 2022, Cik Hani Isnin sering bertemu pelanggan seperti itu dan juga mereka yang datang dari keluarga kurang bernasib baik serta warga emas.



Pengalaman seperti itu mendorong Cik Hani, 40 tahun, menurunkan harga semua makanan yang dijual di gerai tersebut- yang sebelum ini berharga antara $3 hingga $4.50 - kepada $2.50 November 2022.



Gerai yang dibuka pada 2020 oleh ibu bapa Cik Hani turut bertukar nama kepada 'The $2.50 Shop'.



Ia menjual hidangan Melayu seperti nasi lemak, lontong, mi rebus, mi siam, mi soto, nasi ayam dan nasi goreng telur mata lembu semuanya pada harga $2.50.



Cik Hani akui ramai yang mempersoalkan langkah mengurangkan harga hidangan yang dijual, terutama sekali dengan tahap inflasi yang terus meningkat kini.



Namun, katanya beliau dan ibu bapanya komited untuk "memastikan semua orang dapat makanan yang mereka perlukan" dan akan bekerja keras supaya dapat mengekalkan inisiatif itu.



Antara strategi gerai tersebut untuk memastikan mereka 'cukup makan' adalah dengan memastikan gerai itu beroperasi tujuh hari seminggu kecuali bagi cuti-cuti tertentu seperti Hari Raya, kata Cik Hani semasa ditemui Berita Minggu.



"Memang ada juga yang mempersoalkan langkah ini, lagi dengan inflasi memanjang ini sekarang, tapi ini pilihan kami dan kami ingin membantu sebanyak mungkin golongan yang memerlukan melalui inisiatif ini," katanya yang sebelum ini mengendalikan gerai makanan Melayu dan Barat di Sekolah Menengah Queensway selama lebih enam tahun sebelum memutuskan membantu ibu bapanya di gerai mereka.



Komen-komen dari orang luar langsung tidak mematahkan semangat atau menjejas komitmen Cik Hani sekeluarga terhadap inisiatif itu.



Malah, ini bukan pertama kali langkah yang diambil Cik Hani dipersoalkan orang lain.



Cik Hani merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang dan juga ekonomi dari Universiti Nasional Singapura (NUS), namun hanya 'bertahan' dalam dunia korporat sekitar dua bulan sebelum memutuskan untuk meneruskan minatnya dalam bidang memasak dan menjadi pegerai selepas itu.



Keputusannya untuk tidak menceburi kerjaya dalam bidang korporat itu turut dipersoalkan ramai, termasuk ibu bapa Cik Hani.



"Pada mulanya mereka agak kecewa bila saya beritahu bahawa saya hanya ingin hidup ringkas, buat sesuatu yang saya benar-benar suka seperti menjadi pegerai menjual makanan.



"Namun, bila mereka lihat betapa saya gembira melakukan kerja tersebut, mereka juga akhirnya gembira dan terima seadanya," katanya.



Setelah berkahwin pada 2022, Cik Hani tinggal bersama ibu bapanya memandangkan suami Cik Hani, seorang warga Perancis kini bekerja di Britain.



Cik Hani sekeluarga biasanya akan bangun seawal 1.30 pagi setiap hari bagi memastikan gerai dibuka sekitar 3.30 pagi.



"Biasanya apabila kami sampai itu sudah ada beberapa orang warga emas di sana kerana mereka ada kalanya tidak boleh tidur dan akan berlegar di luar.



"Sebaik kami buka kedai, mereka akan memesan makanan kerana kebanyakan mereka perlu makan ubat pagi-pagi, jadi perlu makan dulu," ujar Cik Hani yang mempunyai seorang kakak yang sebelum ini turut membantu di gerai itu.



Meskipun kerja sebagai pegerai tidak mudah, ia mendatangkan kebahagiaan dan kepuasan yang beliau tidak perolehi melalui kerjaya korporat, kata Cik Hani.



Senyuman yang dilontarkan pelanggan apabila diberitahu bahawa duit mereka mencukupi untuk mendapatkan makanan untuk mereka dan juga anak-anak merupakan antara faktor membuat Cik Hani 'terpaut' untuk terus berkhidmat.



"Saya berazam untuk membantu seramai mungkin dan berharap duit beberapa sen yang kami potong daripada harga makanan kami ini dapat membantu mempermudah kehidupan mereka yang kurang bernasib baik," katanya.




Pada mulanya mereka agak kecewa bila saya beritahu bahawa saya hanya ingin hidup ringkas, buat sesuatu yang saya benar-benar suka seperti menjadi pegerai menjual makanan.
Namun, bila mereka lihat betapa saya gembira melakukan kerja tersebut, mereka juga akhirnya gembira dan terima seadanya...
Saya berazam untuk membantu seramai mungkin dan berharap duit beberapa sen yang kami potong daripada harga makanan kami ini dapat membantu mempermudah kehidupan mereka yang kurang bernasib baik."
- Cik Hani Isnin, pegerai 'The $2.50 Shop'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >