SEMUA 200,000 ahli biasa HomeTeamNS akan menerima perlindungan insurans kemalangan peribadi berjumlah $30,000 percuma mulai Ogos.
Ini antara faedah bagi mereka yang diumumkan pada Sabtu (23 Jun).
Di bawah faedah itu, yang pertama yang ditawarkan oleh persatuan tersebut, bekas dan anggota semasa Perkhidmatan Negara (NS) dalam Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang menjadi ahli HomeTeamNS akan dilindungi oleh pembekal insurans AXA.
Perlindungan boleh ditingkatkan kepada antara $100,000 dan $150,000 dengan bayaran tokokan kurang $1 sebulan.
Presiden HomeTeamNS, Cik Josephine Teo, yang juga Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, mengumumkan faedah baru itu di Universal Studios Singapore, di mana kira-kira 5,000 anggota dan sukarelawan HomeTeamNS serta keluarga mereka menyambut Hari Keluarga persatuan itu, lapor akhbar The Straits Times.
Selain perlindungan insurans baru, ahli akan mendapat diskaun tiket wayang hujung minggu, previu filem eksklusif dan promosi makanan di Cathay Cineplexes.
Semua ahli biasa berusia 51 tahun dan ke atas juga akan menerima peluasan dua tahun percuma di bawah skim keahlian GenNext baru yang bertujuan membuat ahli lebih tua kekal aktif.
Ini akan merangkumi diskaun $100 bagi keahlian setahun gym Fitness Works setahun.
Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam mengumumkan tahun lalu bahawa tiga rumah kelab HomeTeamNS akan dibina dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, dengan yang pertama dibuka di Khatib-Yishun menjelang 2020 dan menggantikan rumah kelab Sembawang yang sedia ada.