PEGUAM mapan setempat Encik Ahmad Nizam Abbas, telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bagi beberapa firma guaman dari Singapura, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Australia (Simba) - sebuah afiliasi firma guaman yang bertujuan membina jaringan undang-undang merentasi sempadan khususnya di Asia Pasifik.
Encik Ahmad Nizam yang merupakan pengarah urusan firma guaman Crescent Law Chambers LLC dilantik pada Selasa semasa pemeteraian persetujuan membentuk sebuah afiliasi firma guaman yang dinamakan Simba Law Alliance di Kuala Lumpur.
Dalam persidangan yang dihadiri enam firma guaman di Kuala Lumpur itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Malaysia dipilih sebagai Pengerusi Simba Law Alliance diikuti Encik Azman Marsaleh sebagai Setiausaha Kehormat.
Dalam kenyataannya kepada Berita Harian, Encik Ahmad Nizam berkata afiliasi firma guaman itu juga turut memberi ruang untuk penglibatan aktif firma guaman di peringkat antarabangsa.
"Melalui afiliasi rangkaian firma guaman, setiap firma guaman berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain. Ia untuk memperkuatkan ikatan antara di mana kami berharap dapat bertukar-tukar ilmu dan amalan undang-undang dari setiap bidang kuasa. Ini akan memberi faedah kepada kami kerana terdapat peningkatan dalam kerja lintas sempadan.
"Contohnya, dalam kes perkahwinan, terdapat perkahwinan dan perceraian dari negara yang berbeza, dan di mana aset perkahwinan tersebar di beberapa negara.
"Dengan afiliasi ini, kami dapat memanfaatkan sumber dan kenalan masing-masing untuk lebih baik memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan kami.''
Kenyataan Simba Law Alliance pula menyatakan kerjasama melibatkan lima negara itu juga bagi meningkatkan perkhidmatan undang-undang merentasi sempadan dan kepakaran di rantau terlibat, berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam kalangan firma, selain turut memudahkan peluang perniagaan dan pelaburan.
Ia juga memberi peluang kepada pelanggan dari negara lain untuk mendapat rujukan peguam yang terbaik di suatu negara melalui gabungan ini.
"Simba Law Alliance juga berperanan dalam menggalakkan dan menegakkan mutu etika dan kelakuan profesional yang tinggi dalam kalangan gabungan serta meningkatkan kredibiliti firma-firma terlibat di dalam negara masing-masing termasuk di peringkat global," kata Datuk Zainul Rijal.
Anggota Simba Law Alliance juga bersetuju mengadakan persidangan tahunan anggota yang akan diadakan dalam masa terdekat. Wacana peningkatan ilmu dan latihan juga akan diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan profesionalisme anggota.
Encik Ahmad Nizam menambah:
"Afiliasi ini melihat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam kerja rentas sempadan.
"Terdapat ramai warga asing hari ini tinggal di Singapura dan lebih ramai warga Singapura yang tinggal di luar negara. Mereka juga memerlukan perkhidmatan guaman yang lebih bersifat antarabangsa.''
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg