Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA: ANUGERAH JAUHARI 2021

Allahyarham Sarkasi 'harus sekali diiktiraf' bagi sumbangan beliau

Pengadil: Pencapaiannya begitu tinggi dalam negara dan di Asia Tenggara
Dec 24, 2021 | 05:30 AM



MEMBERI Anugerah Jauhari (Anumerta) kepada seniman batik tersohor Allahyarham Sarkasi Said adalah satu pengiktirafan dan penghormatan besar terhadap sumbangan meluas beliau dalam seni batik dan mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa.



Beberapa tetamu di majlis penyampaian Anugerah Jauhari 2021 Berita Harian kelmarin berkata anugerah yang diberi kepada Allahyarham satu tanda baik untuk mengiktiraf semua sumbangan beliau, yang memperjuangkan seni lukisan batik berdekad lamanya.



Ini kali pertama Anugerah Jauhari (Anumerta) turut diberi dalam anugerah tahunan itu.



Majlis anugerah tahun ini diadakan di hotel Grand Hyatt Singapore kelmarin.



Allahyarham Sarkasi, yang mendapat gelaran 'Bapa Batik Singapura', menghembuskan nafasnya yang terakhir Oktober lalu pada usia 81 tahun.



Anak beliau, Encik Ika Zahri Sarkasi, yang menerima anugerah itu bagi pihak arwah bapanya, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang gigih dan rajin, dan sentiasa menasihatkan beliau dan adik-beradiknya supaya melakukan setiap tugas yang diberi dengan disiplin dan ikhlas.



Allahyarham juga memesan anak-anaknya supaya melakukan setiap tugas dengan cemerlang mengikut kemampuan terbaik mereka, dan bukan bagi tujuan mendapat pengiktirafan.



"Anugerah ini mendorong saya dan adik-beradik saya untuk menegakkan dan meneruskan warisan yang ditinggalkan bapa kami untuk generasi masa depan," kata beliau.



Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, ketua panel pengadil yang memilih penerima Anugerah Jauhari, berkata:



"Kami memikirkan bahawa sumbangan beliau begitu banyak sekali dan pencapaian beliau begitu tinggi sekali bukan di dalam negara sahaja, bahkan di Asia Tenggara dan sebagainya.



"Jadi kami memberi Anugerah Jauhari (Anumerta) kepada Allahyarham sebagai salah seorang penerima Anugerah Jauhari tahun ini."



Allahyarham Sarkasi, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Sarkasi dan dikenali menerusi nama artisnya 'Tzee', adalah seorang penggiat seni batik tersohor bukan di Singapura sahaja, malah di peringkat antarabangsa bagi seni batiknya yang berani dan abstrak.



Tahun lalu, beliau menerima Pingat Budaya, iaitu penghormatan seni tertinggi Singapura, yang disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob di Istana.



Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi masyarakat dan negara, dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang tidak pernah lupa asal usulnya dan berusaha sedaya upaya memupuk barisan pelapis penggiat seni batik dalam kalangan generasi seterusnya.



Presiden Halimah mengingati Allahyarham sebagai seorang yang mempunyai minat mendalam dan berdedikasi dalam memperjuangkan seninya.



Ikon seni Som Said berkata beliau rasa amat tersentuh sekali Allahyarham diberi Anugerah Jauhari (Anumerta).



"Saya rasa terharu terutama sekali kerana orang yang menerimanya adalah Almarhum Encik Sarkasi Said yang sangat saya kenali dan saya gembira dengan anugerah yang diberikan kepadanya," kata beliau, yang merupakan Jauhari 2009.



Pengarah Kanan, Our Tampines Hub, Encik Suhaimi Rafdi, yang juga penerima Jauhari 2012, pula berkata anugerah yang diberikan kepada tokoh batik itu menunjukkan betapa mendalamnya kesan yang ditinggalkan beliau dalam dunia seni batik.



"Sumbangan beliau harus sekali diiktiraf, dihargai dan disanjungi. Pemergian beliau satu kehilangan yang amat besar bagi masyarakat dan negara kita.



"Saya berharap warisan batik beliau akan sentiasa terus diingati dan dipuji bukan hanya oleh generasi hari ini, malah generasi seterusnya dan generasi masa depan," kata beliau.




"Semua nama yang diketengahkan begitu baik belaka. Jadi kami terpaksalah merujuk kepada orang-orang yang kenal mereka dan sebagainya. Alhamdulillah, kami telah memilih Almarhum Sarkasi Said, Cik Shirin dan Cik Kiria. Kami rasa pencapaian mereka dan sumbangan mereka bukan kepada masyarakat kita sahaja, malah masyarakat nasional dan di peringkat antarabangsa. Saya kira harapan masyarakat kita begitu tinggi. Bukan harapan masyarakat saja, malah harapan negara untuk kedua-duanya (Cik Shirin dan Kiria) mencapai lebih tinggi."
- Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, ketua panel pengadil Anugerah Jauhari.



"Anugerah Jauhari (Anumerta) yang diberi kepada tokoh batik Allahyarham Sarkasi Said menunjukkan betapa mendalam kesan yang ditinggalkannya dalam dunia seni batik. Sumbangan beliau harus sekali diiktiraf, dihargai dan disanjungi. Pemergiannya satu kehilangan amat besar bagi masyarakat dan negara. Saya harap warisan batik beliau akan terus diingati dan dipuji bukan oleh generasi hari ini saja, malah generasi seterusnya dan generasi masa depan."
- Pengarah Kanan, Our Tampines Hub, Encik Suhaimi Rafdi, yang juga penerima Anugerah Jauhari 2012.



"Saya rasa (Anugerah Jauhari tahun ini) satu pencapaian istimewa kerana dua penerimanya wanita, bertepatan dengan Tahun Merai Wanita SG tahun ini. Dengan adanya penerima Anugerah Jauhari dan Jauhari Harapan wanita, ini menekankan pentingnya kita sokong aspirasi wanita agar wanita dapat terus berjaya. Kejayaan mereka dalam bidang berbeza. Kita boleh melakar, mencatat kejayaan kita masing-masing, dalam pelbagai bidang hari ini, baik dalam bidang sukan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) mahupun seni, yang menunjukkan kejayaan itu dekat dengan dakapan kita."
- Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >