SEORANG merupakan penerima Anugerah Dekan (Dean’s List) sebanyak empat kali.
Seorang lagi berada di China mewakili Singapura dalam pertandingan biomekanik dan teknologi bantuan.
Seorang lagi pula meneruskan legasi orang tuanya menerima ijazah dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Meskipun pengalaman yang dilalui di universiti agak berbeza, Encik Mohd Saifullah Jumari, 25 tahun; Encik Muhd Ashsiddique Mohd Omrul Hauk, 25 tahun; dan Cik Nur Haseena Jupri, 23 tahun - ketiga-tiganya penerima biasiswa di NUS - bakal melalui ‘garis tamat’ yang serupa.
Mereka merupakan antara siswazah universiti utama Asia itu yang menerima ijazah dalam majlis konvokesyen NUS yang berlangsung hari ini (12 Julai) hingga 19 Julai 2018.
Ketiga siswazah tersebut merupakan antara anak Melayu/ Islam yang berjaya lulus sarjana muda dengan kepujian-kecemerlangan tertinggi (serupa kepujian kelas pertama) tahun ini.
Encik Saifullah menerima ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi), Encik Ashsiddique menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Biomedikal) dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi), sementara Cik Haseena menerima ijazah Sarjana Muda (Bahasa dan Sastera Inggeris) dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) dengan Minor dalam Pengajian Filem.
Majlis utama konvokesyen NUS 2018 hari ini turut dihadiri Presiden Singapura, Halimah Yacob, yang juga merupakan Canselor universiti tersebut.
NUS turut menganugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang Keadilan kepada Hakim Chao Hick Tin pada majlis yang sama sebagai pengiktirafan atas sumbangan cemerlang beliau kepada perkhidmatan awam, undang-undang dan Singapura.