DAHULU, Cik Sulastri Muslim, 54 tahun, membelanjakan sekitar $125 untuk mengisi penuh tangki minyak keretanya.
Namun sejak beberapa bulan lalu, harga minyak setangki penuh kereta Toyota Wish beliau sekurang-kurangnya 12 peratus lebih tinggi, iaitu lebih $140.
Dan pemandu Grab itu khuatir jika harga minyak petrol terus meningkat, kerana ia akan menjejas pendapatannya pada masa akan datang.
Cik Sulastri antara pemandu dan pemilik kereta di sini yang bimbang mengenai harga petrol terus meningkat, hingga mencapai lebih $4 seliter minggu lalu.
Ini kali pertama harga petrol lebih $4 seliter di Singapura.
Kenaikan mendadak lagi berterusan harga petrol bermula sebelum pencerobohan Russia ke atas Ukraine sekitar Februari lalu, yang menyebabkan sekatan meluas terhadap Moscow hingga memburukkan lagi krisis rantaian bekalan global.
Pembukaan semula ekonomi dunia secara beransur-ansur - dan kemudian mendadak - sedang dunia bangkit daripada pandemik Covid-19 juga menambah permintaan bagi bahan api.
Ketua Perniagaan dan Pengurusan Minor di Sekolah Perniagaan, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Chang Young Ho, berkata selagi ekonomi tumbuh, permintaan bagi minyak akan bertambah.
"Sedang ekonomi dunia pulih daripada pandemik Covid-19, permintaan bagi minyak dijangka bertambah.
"Selain itu, bekalan dijangka berkurangan disebabkan Russia yang tidak dapat mengeksport minyak kepada dunia," ujar beliau.
Oleh itu, beberapa pakar memberitahu Berita Harian bahawa harga minyak dijangka terus meningkat dan kekal tinggi.
Pensyarah kanan perbankan dan kewangan di Sekolah Perniagaan Nanyang, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Siriwan Chutikamoltham, berkata selagi perang Ukraine-Russia berterusan, bekalan dari Russia akan terus menghadapi sekatan dan oleh itu masalah kekurangan minyak akan berterusan.
Antara sebabnya juga ialah sumber alternatif tidak boleh diperoleh dengan cepat.
"Tiada orang tahu berapa lama perang ini akan berlaku, tetapi pasaran ekonomi menjangkakan harga minyak kekal tinggi sekurang-kurangnya bagi beberapa bulan akan datang," ujar beliau.
Penolong Profesor Ru Hong daripada Sekolah Perniagaan Nanyang, pula berkata serangan Russia ke atas Ukraine bermakna bekalan minyak akan terus menghadapi masalah.
"Malah, permintaan bagi minyak akan meningkat apabila kegiatan ekonomi di China kembali pulih.
"Secara keseluruhan, saya rasa kenaikan harga minyak ini akan berterusan selama sekurang-kurangnya baki tahun ini," katanya.
Kalau harga minyak tidak terus meningkat pun, Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata ia tidak akan menurun dengan cepat.
"Perang Ukraine-Russia merupakan faktor yang banyak menyumbang dalam hal ini.
"Harga minyak yang naik juga bermakna produk sampingan petroleum juga akan bertambah," ujarnya.
Bagi Cik Sulastri, beliau bimbang mengenai kesan ke atas pendapatannya sekiranya keadaan ini berterusan.
"Waktu cuti sekolah dahulu biasanya masih ada ramai penumpang, tapi cuti sekolah tahun ini agak sunyi dan saya rasa jumlah penumpang berkurangan 15 hingga 20 peratus.
"Bimbang jugalah kalau lama-lama orang dah tak mahu naik Grab, kerana tambang pun dah naik sekarang dan mereka memilih naik bas dan MRT," kata ibu tiga anak berusia 23 hingga 31 tahun itu.
Oleh itu, beliau mengambil keputusan menambah pendapatan dengan mengambil tempahan membuat kuih lopes dari rumah dan mencari peluang pekerjaan tambahan sebagai pemandu tetap menghantar pekerja pulang dari Lapangan Terbang Changi ke rumah mereka pada sebelah malam.
"Saya tak biasa kerja malam tapi saya cuba biasakan. Peluang tambahan ini memberi saya pendapatan lebih stabil untuk menangani kos harga minyak yang naik dalam suasana sekarang," ujar Cik Sulastri.
Bagi seorang pemilik kereta, Syed Eeszadh Alsagoff, 51 tahun, beliau menangani kos petrol yang lebih tinggi dengan mengurangkan perjalanan melainkan yang benar-benar perlu.
Beliau juga pergi ke Johor Bahru untuk mengisi petrol keretanya.
"Namun pada masa sama, kos minyak di JB juga naik mendadak.
"Kos bagi setangki minyak semasa diisi di JB ialah sekitar RM200 ($62). Ini lebih tinggi berbanding sekitar RM135 kira-kira dua tahun lalu," ujar konsultan jualan itu, yang memandu sejak lebih 30 tahun lalu dan kini memandu sebuah kereta Honda berkuasa 2.4 liter.
APA KATA PAKAR
"Sedang ekonomi dunia pulih daripada pandemik Covid-19, permintaan bagi minyak dijangka bertambah. Selain itu, bekalan dijangka berkurangan disebabkan Russia yang tidak dapat mengeksport minyak kepada dunia."
- Profesor Madya Chang Young Ho, Ketua Minor Pengurusan dan Perniagaan di Sekolah Perniagaan, SUSS.
"Malah, permintaan bagi minyak akan meningkat apabila kegiatan ekonomi di China kembali pulih. Secara keseluruhan, saya rasa kenaikan harga minyak akan berterusan selama sekurang- -kurangnya baki tahun ini."
- Penolong Profesor Ru Hong daripada Sekolah Perniagaan Nanyang, NTU.
"Perang Ukraine-Russia merupakan faktor yang banyak menyumbang dalam hal ini.
Harga minyak yang naik juga bermakna produk sampingan petroleum juga akan bertambah."
- Profesor Madya Eugene Tan daripada SMU.
"Tiada orang tahu berapa lama perang ini akan berlaku, tetapi pasaran ekonomi menjangka harga minyak kekal tinggi sekurang-kurangnya bagi beberapa bulan akan datang."
- Dr Siriwan Chutikamoltham, Pensyarah kanan perbankan dan kewangan di Sekolah Perniagaan Nanyang, NTU.