Subuh
5:42
Syuruk
7:05
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Bayi dalam tong sampah Bedok North: Wanita dituduh di mahkamah

Feb 15, 2020 | 03:00 PM

WANITA yang dipercayai ibu bayi lelaki yang ditinggalkan di kawasan pembuangan sampah di Bedok North bulan lalu telah didakwa di mahkamah pada Sabtu (15 Feb).

Wanita berusia 26 tahun itu, yang namanya tidak boleh disiarkan atas perintah mahkamah, dituduh mendedahkan dan mengabaikan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kededuanya sekali.

Dalam laporannya, The Straits Times berkata perintah mahkamah supaya seorang yang tertuduh tidak dikenal pasti biasanya dikenakan demi melindungi identiti mangsa, yang dalam kes ini adalah bayi yang diabaikan itu.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah serupa bagi bayi lelaki itu.

Pada 7 Januari, dua pekerja pembersihan majlis bandaran di Belok 543 Bedok North Street 3 sedang mengambil sampah dari tempat pembuangan sampah itu apabila mereka mendengar tangisan dari salah satu tong.

Mereka terkejut menemui seorang bayi lelaki dalam beg plastik pasar raya Sheng Siong yang basah dan berlumuran darah.

Kata polis, ia telah menangkap wanita itu pada Khamis lalu, selepas melihat imej yang diambil oleh kamera polis dan beberapa lagi video dari kamera litar tutup (CCTV) yang diberikan oleh penduduk dan kedai-kedai di estet perumahan itu.

Penduduk, sebelum ini, telah memberitahu wartawan bahawa polis melakukan siasatan di setiap tingkat flat itu, dan mengajukan beberapa soalan. Polis juga menggesa pemilik kenderaan di tempat meletak kereta terbuka berhampiran blok itu untuk berkongsi rakaman video dari kamera dalam kereta mereka.

Polis masih menyiasat identiti bapa anak itu.

www.beritaharian.sg/setempat/bayi-dalam-tong-sampah-bedok-north-wanita-diberkas-didakwa-hari-ini-15-feb

*Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya. 

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian