UNTUK menggalakkan penjagaan dalam keluarga, geran untuk memudahkan orang ramai tinggal berhampiran atau bersama ibu bapa telah diperluaskan.
Pemohon juga diberikan lebih banyak pilihan bagi flat jualan semula yang layak dikategorikan sebagai berhampiran dengan yang tersayang.
Menteri Kewangan Encik Heng Swee Keat menyentuh dalam ucapannya di parlimen petang tadi, bahawa Geran Perumahan Berhampiran (PHG) yang dilancarkan pada Ogos 2015, telah dipertingkatkan dengan serta merta.
Individu yang belum berkahwin kini boleh mendapatkan geran sebanyak $10,000 jika mereka membeli flat jualan semula HDB berhampiran ibu bapa mereka.
Sebelum ini, geran tersebut dihadkan kepada mereka yang belum berkahwin dan ingin membeli flat untuk tinggal bersama ibu bapa mereka dan keluarga yang ingin membeli flat untuk tinggal bersama ibu bapa mereka atau anak-anak yang sudah berkahwin.
Geran bagi kumpulan tersebut akan dinaikkan sebanyak 50 peratus.
Mereka yang belum berkahwin akan mendapat $15,000 manakala keluarga akan mendapat $30,000.
Keluarga yang membeli flat jualan semula berhampiran ibu bapa mereka akan terus mendapat $20,000.
Sekitar 12,000 keluarga telah memanfaatkan PHG sehingga akhir tahun lalu, menurut HDB.