WALAUPUN penganjur acara dan pengisi kandungan digital Zahid Ali gemar berkunjung ke Johor Bahru sebelum pandemik Covid-19 melanda untuk membeli keperluan Hari Raya, beliau tidak merancang berbuat demikian tahun ini.

Meskipun sempadan darat Singapura-Malaysia dibuka semula baru-baru ini, Encik Zahid, 44 tahun, sudah terbiasa menyokong perniagaan tempatan semasa beraya dalam pandemik ini dan ingin meneruskan usaha sedemikian.

Tambahan pula, peniaga bazar di Singapura baru sahaja bertapak semula selepas dua tahun tidak dapat meniaga dalam suasana menjelang Lebaran kerana ketiadaan bazar Raya, katanya.

Sebagai seseorang yang mempunyai ramai kenalan yang menjalankan perniagan dari rumah dan mempunyai gerai bazar, Encik Zahid ingin membantu menambah rezeki usahawan kecil-kecilan ini.

"Sebelum ini, saya memang sering beli baju kurung dan kuih-muih di Johor kerana banyak pilihan dan harganya lebih rendah.

"Tapi pandemik mengajar dan mendedahkan saya untuk yakin pada kerencaman produk peniaga Singapura.

"Kita bergantung pada barangan yang dipasarkan perniagaan dari rumah (HBB).

"Saya juga mempunyai program digital dan penstriman liveMakMok Show yang bertujuan memaparkan jerih payah dan perjuangan HBB yang bertambah jumlahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan sewaktu pandemik.

"Kesukaran yang mereka hadapi menyentuh perasaan saya. Apabila sempadan dibuka dan kelonggaran langkah pengurusan selamat diberi untuk adakan bazar di Singapura, saya terfikir tak perlu stres terperangkap dalam kesesakan trafik di Koswe.

"Jangan buang masa. Beli sahaja di Singapura. Ada banyak produk bermutu yang tahan lama atau sedap dimakan," kata beliau, yang biasanya membeli kuih Raya buatan kampung seperti baulu di Johor Bahru, ketika dihubungi Berita Harian.

Seorang pegawai perkhidmatan pelanggan, Cik Asliani Abdul Ghani, 43 tahun, sependapat dengan Encik Zahid mengenai membeli barang Lebaran di Singapura.

"Walaupun orang kata barang di seberang Tambak lebih murah, saya tak sanggup mengharungi ke-sesakan trafik di Koswe atau Link Kedua.

"Dulu saya dan sepupu saya memang serang JB untuk beli kuih-muih setiap Ramadan kerana harganya berpatutan.

"Sudah dua tahun kita tiada bazar di Singapura. Apabila bazar kembali, rasa ihsan saya pada penjual yang baru nak kembalikan semangat niaga di bazar menebal. Kalau kita tak sokong mereka siapa lagi?

"Kalau rindu produk atau kuih-muih Malaysia, carilah bazar yang menampilkan artis Malaysia, seperti Buzz@Raya yang diadakan di Grand Dahlia, Joo Chiat Complex baru-baru ini.

"Saya berkunjung ke sana sampai $200 habis beli kuih raya. Tapi berbaloi kerana dapat bergambar dengan artis," katanya.

"Pandemik mengajar dan mendedahkan saya untuk yakin pada kerencaman produk peniaga Singapura. Kita bergantung pada barangan yang dipasarkan perniagaan di rumah (HBB). Saya juga mempunyai program digital dan penstriman live MakMok Show yang bertujuan memaparkan jerih payah dan perjuangan HBB yang bertambah jumlahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan sewaktu pandemik. Kesukaran yang mereka hadapi menyentuh perasaan saya. Apabila sempadan dibuka dan kelonggaran langkah pengurusan selamat diberi untuk adakan bazar di Singapura, saya terfikir tak perlu stres terperangkap dalam kesesakan trafik di Koswe. Jangan buang masa. Beli sahaja di Singapura. Ada banyak produk bermutu yang tahan lama atau sedap dimakan. - Encik Zahid Ali, penganjur acara dan pengisi kandungan digital.

"Walaupun orang kata barang di seberang Tambak lebih murah, saya tak sanggup mengharungi kesesakan trafik di Koswe atau Link Kedua. Dulu saya dan sepupu saya memang serang JB untuk beli kuih-muih setiap Ramadan kerana harganya berpatutan. Sudah dua tahun kita tiada bazar di Singapura. Apabila bazar kembali, rasa ihsan saya pada penjual yang baru nak kembalikan semangat niaga di bazar ini menebal. Kalau kita tak sokong mereka siapa lagi? - Cik Asliani Abdul Ghani, pegawai perkhidmatan pelanggan.