DALAM proses menulis sebuah cerpen atau novel, asas yang paling penting adalah cara menjana idea bagi melakar jalan cerita yang mampu menarik minat pembaca.
Setiap penulis harus tahu apa yang seharusnya dilakukan terhadap idea atau inspirasi yang tercetus.
Oleh itu, dalam sesi pertama siri bengkel Mencari Kristal anjuran BH-NAC kelmarin, penulis setempat, Encik Hassan Hasaa'Ree Ali, telah menumpukan sesi perkongsiannya dengan lebih 30 peserta pada aspek tersebut.
Menurut Encik Hassan, proses mencari sumber idea serta mengetahui apa yang seharusnya dilakukan kepada idea tersebut merupakan asas yang penting bagi mereka yang ingin menulis cerita.
"Semasa bengkel ini, terdapat beberapa peserta yang bertanyakan kepada saya cara mencari idea dan juga apa yang seharusnya dilakukan dengan idea-idea tersebut?
"Oleh itu, saya telah berkongsi bersama mereka akan tips untuk mencari sumber idea dan melakarkan cerpen mereka," katanya.
Tambah beliau, membentuk idea yang kukuh merupakan asas menulis cerpen, selain menguasai bahasa dan banyakkan membaca.
Antara lain, Encik Hassan berkongsi bagaimana idea bagi sesebuah cerpen boleh datang dari mana sahaja termasuk melalui perbualan, perkara yang berlaku, mahupun isu semasa.
Beliau telah menyuruh peserta bengkel mewujudkan 'kotak idea', di mana kesemua idea yang tercetus boleh dikumpulkan bagi ditulis pada lain hari.
Selain tip tersebut, Encik Hassan juga telah menyentuh tentang 'cliche' dalam cerpen yang seharusnya dielakkan supaya cerpen yang ditulis kekal segar.
Menurut Encik Hassan, selain membimbing cara menulis cerpen, sesi bengkel tersebut bertujuan menggalak serta mencetuskan inspirasi, terutama sekali bagi penulis baru, supaya terus menulis.
"Saya ingin bengkel ini menjadi platform untuk memberitahu mereka, terutama sekali penulis baru supaya sedar bahawa mereka boleh menulis genre-genre yang pelbagai termasuk debar cinta ini," katanya.
Encik Hassan juga berkata bahawa beliau gembira melihat wajah penulis baru dan juga penulis mapan yang datang semasa bengkel tersebut.
"Melalui bengkel-bengkel ini, kita tahu bahawa ada pelapis di luar sana dan kita harus mencarinya. Jadi program-program seperti ini juga berfungsi sebagai platform bagi kita mendapatkan penulis-penulis baru," ujarnya.
Encik Hassan menambah bahawa melalui kegiatan interaktif dalam bengkel itu membantu setiap peserta menyerlahkan pelbagai idea mereka.
Sesi itu antara enam bengkel di bawah program Mencari Kristal, yang bertujuan membangun bakat penulis kreatif Melayu di Singapura.