Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Beri komitmen penuh dalam usaha perjuang nasib pekerja

PM Lee: Mahmud Awang antara pemimpin pengasas Singapura, berperanan penting bina negara berbilang kaum
Jan 06, 2021 | 05:30 AM



KOMITMEN yang dimiliki Allahyarham Mahmud Awang terhadap usaha memperjuang nasib pekerja kadangkala mencetuskan kemarahan isterinya.



Beliau pernah meminta seorang ahli jawatankuasa menemani isterinya - yang baru melahirkan anak perempuan - pulang daripada hospital kerana beliau enggan membatalkan satu mesyuarat kesatuan.



"Isteri saya marah saya macam nak rak. Beliau kata, seharusnya saya membatalkan mesyuarat itu.



"Tapi saya beritahu beliau mesyuarat itu amat penting dan saya perlu membereskannya sebelum bertemunya," kata Allahyarham Mahmud, sebagaimana dikongsi oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dalam surat terbuka kepada anak perempuan Allahyarham, Cik Sopiah Mahmud.



"Dedikasinya dalam perjuangan bagi pekerja... dan perbuatan semasa hayatnya, akan terus menjadi contoh cemerlang bagi kita semua," kata NTUC dalam surat itu, yang ditandatangani oleh Presiden Mary Liew dan Setiausaha Agung Ng Chee Meng.



Naib presiden dalam Jawatankuasa Pusat NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab, turut menziarahinya Cik Sopiah semalam.



Cik Sopiah, anak bongsu dalam keluarga tujuh anak itu tertawa kecil apabila diingatkan tentang peristiwa tersebut semasa Berita Harian (BH) menghubunginya semalam.



"Arwah bapa memang begitu... sangat komited pada usahanya dalam masyarakat," kata Cik Sopiah.



"Terus terang saya katakan, memang arwah bapak jarang berada di rumah, tetapi apabila beliau ada di rumah, beliau akan meluangkan masanya sepenuhnya buat kami," ujar Cik Sopiah lagi, yang berkata antara kenangan manis bersama arwah bapanya adalah semasa beliau menyewa kereta untuk membawa keluarga bersiar-siar keliling Singapura.



Allahyarham Mahmud, mantan anggota parlimen dan mantan pemangku presiden NTUC, meninggal dunia tengah malam kelmarin pada usia 92 tahun.



Dilahirkan di Labis, Johor, pada 1928, Allahyarham Mahmud memulakan kerjaya bersama Tentera Laut Diraja Britain pada 1945 dan dikerah berkhidmat di Pangkalan Tentera Laut Sembawang.



Tidak lama kemudian, beliau beralih ke syarikat pengangkutan Singapore Traction Company (STC) di mana beliau bertugas sebagai konduktor bas.



Pada 1956, selepas mengalami sendiri kesusahan akibat pekerja mogok, Allahyarham Mahmud menyertai Kesatuan Pekerja Singapore Traction Company (STCEU) kerana beliau ingin membela nasib pekerja yang terjejas.



Mengulas mengenai kesan perbuatan mogok terhadap pekerja, NTUC memetik Allahyarham Mahmud sebagai berkata:



"Ia tidak seharusnya berlaku sedemikian. Kita semua sedang cuba menyara kehidupan dan saya baru sahaja berkahwin dan perlu menyara hidup isteri dan dua anak."



Kegiatannya di STCEU, menyebabkan Allahyarham Mahmud ditahan oleh pemerintah penjajah British di Singapura semasa tempoh mogok besar-besaran STC pada 1955-56. Namun, selepas dibebaskan, beliau dilantik sebagai presiden STCEU pada 1958 dan selang dua tahun, beliau dilantik menjadi presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan Singapura (STUC).



Apabila STUC berpecah dua - kepada NTUC dan Persatuan Kesatuan Perdagangan Singapura (Satu) - Allahyarham Mahmud dan Encik Devan Nair (presiden ketiga Singapura) mengasaskan bersama NTUC dan Allahyarham berkhidmat sebagai pemangku presiden NTUC dan pengerusi pertamanya.



Selanjutnya, beliau mendukung jawatan naib presiden NTUC.



Dalam suratnya yang dikirimkan kepada anak lelaki Allahyarham, Encik Endut Mahmood, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata penglibatan Allahyarham dengan kesatuan sekerja mendekatkan beliau dengan generasi perintis Parti Tindakan Rakyat (PAP) seperti Perdana Menteri Pengasas mendiang Encik Lee Kuan Yew, Encik Nair dan Encik Ahmad Ibrahim (mantan Menteri Buruh).



Menurut Encik Lee, Allahyarham meraih sokongan banyak kesatuan tetapi tewas kepada Encik David Marshall daripada Parti Pekerja dalam pilihan raya kecil di Anson pada 1961, selepas enam daripada 10 anggota sekretariat STUC mengeluarkan kenyataan mempersoal pemerintah PAP.



Perkara itu menyebabkan perpecahan dalam PAP, dengan 13 ahli dewan perundangannya membentuk Barisan Sosialis, diikuti perpecahan dalam STUC, dengan kesatuan yang menyokong PAP membentuk NTUC.



Antaranya adalah STCEU yang dipimpin Allahyarham Mahmud, kata Encik Lee.



"Beliau menganggotai sekumpulan kecil ahli kesatuan yang menentang penyokong sayap kiri dan akhirnya mendesak pekerja agar memberi sokongan kepada PAP, kata Encik Lee.



Bersependapat, Mayor North West CDC dan pengarah eksekutif PAP Encik Alex Yam, yang menulis di Facebook berkata Allahyarham Mahmud bertekad membina Singapura berdasarkan keadilan dan kesaksamaan pada masa kepercayaan sedemikian dianggap berbahaya.



Meskipun tewas pada 1961, Allahyarham Mahmud dinamakan lagi sebagai calon PAP di Kampong Kapor pada pilihan raya umum 1963, dengan beliau memenangi kerusi dewan perundangan dalam persaingan empat penjuru.



Beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat sehingga bersara daripada politik pada 1968.



Selepas bersara, Allahyarham Mahmud meneruskan usaha membela nasib pekerja dan berkhidmat kepada masyarakat, termasuk menjadi presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) selama empat dekad.



Beliau juga berkhidmat di Mahkamah Timbang Tara Industri, Lembaga Pendidikan Dewasa dan Lembaga Penasihat Vokasional Singapura.



Pada 1980, Allahyarham Mahmud diberikan anugerah Veteran Pergerakan Buruh sempena Hari Pekerja untuk mengiktiraf sumbangannya kepada pergerakan itu.



Beliau juga dianugerahi Bintang Perkhidmatan Awam pada 1963.




"... Namun, Encik Mahmud dan rakan seangkatannya memilih impian lebih murni dan berdiri teguh dengan tekad mereka.



Disebabkan keberanian dan kepimpinan mereka, wawasan Singapura yang berbilang kaum kekal hidup dan kini satu realiti."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengimbas bagaimana Allahyarham Mahmud dan pemimpin Melayu PAP seperti Allahyarham Othman Wok dan Rahim Ishak tidak berganjak meski didesak tokoh politik Umno agar memilih politik berdasarkan kaum, dalam surat kepada anak lelaki Allahyarham, Encik Endut Mahmood.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >