Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Buku galak jihad bersenjata, pandangan ekstremisme diharam

* MCI: Remaja tahanan ISD jadi pelampau disebabkan buku * Muis: Buku bertentangan dengan nilai Islam
Jun 25, 2021 | 05:30 AM



SEBUAH buku yang menggalak jihad bersenjata dan mengandungi pandangan ekstremis yang mendorong permusuhan antara masyarakat berlainan agama kini dilarang di sini, kata Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) semalam.



Buku bertajuk Menyingkap Rahsia Tentera Elit Briged Izzuddin Al-Qassam: Generasi Muda Perindu Syahid itu digunakan oleh seorang bekas anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) berusia 20 tahun Amirull Ali, yang menjadi radikal secara sendiri dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri Mac lalu.



Buku itu mendapat perhatian pemerintah ketika mereka menjalankan siasatan ke atas Amirull, kata MCI.



Ia ditulis oleh Abdul Aziz Abu Bakar dan Adnan M. El Halabi, dan diterbit oleh Hijjaz Records Publishing pada 2015.



Siasatan yang dijalankan ke atas Amirull mendapati kandungan buku itu antara faktor yang membuat dia menjadi radikal. Amirull membeli buku itu di luar negara pada 2015.



Dia ditahan di bawah ISA kerana didapati telah membuat rancangan teliti untuk menyerang sebuah sinagog (rumah ibadah Yahudi) di sini.



MCI berkata larangan terhadap buku yang diwartakan sebagai penerbitan dilarang itu berkuat kuasa mulai hari ini, dan orang awam yang memiliki buku itu harus menyerahkannya kepada polis.



"Penerbitan ini menggalak jihad bersenjata dan mengandungi pandangan ekstremis yang mendorong permusuhan dalam kalangan masyarakat agama yang berlainan. Ajaran dan ideologi sedemikian akan menjejas keharmonian dan hubungan kaum dan agama Singapura.



"Pemerintah Singapura tiada toleransi terhadap individu atau penerbitan yang bertujuan menimbulkan permusuhan atau keganasan dalam kalangan kumpulan agama berlainan dan oleh itu, telah memutuskan untuk melarang penerbitan ini," kata MCI.



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa ia telah menilai buku itu dan mendapati ia mengandungi idea yang boleh mendatangkan masalah dengan menggalak jihad bersenjata, dan individu yang melakukannya dijamin menerima ganjaran lumayan daripada Tuhan.



"Muis menggesa masyarakat supaya berwaspada terhadap penerbitan seperti ini dan pandangan dan pemikiran yang terkandung.



"Menggalak pandangan keagamaan dan ideologi ekstremis yang menyokong keganasan, permusuhan dan sifat tidak percaya bukan nilai-nilai Islam atau yang dimiliki masyarakat Islam Singapura," kata Muis.



Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo semalam berkata edisi terkini Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura menunjukkan ancaman pengganasan dan individu yang menjadi radikal sendiri belum lenyap di sini, dan ia sering disebabkan kandungan ekstremis yang mengancam ruang bersama dan harmoni sosial Singapura.



Sekiranya pandangan ekstremis sedemikian berakar dalam minda anak-anak muda, ia boleh membawa mereka ke arah laluan menjadi radikal sendiri.



"Ini sebabnya kita tiada toleransi terhadap individu atau penerbitan yang menimbulkan permusuhan atau keganasan dalam kalangan kumpulan agama berlainan," ujar beliau.



Cik Teo berkata Singapura tidak boleh mengambil ringan keamanan yang dinikmati sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang telah dibina selama ini.



"Kewaspadaan berterusan adalah satu keharusan, seperti juga tumpuan pada tugas membangunkan persahabatan, kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain, tidak kira bangsa dan agama, yang tidak pernah berakhir," kata beliau dalam satu pos di Facebook.



Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, pula berkata sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama adalah perlu menegakkan prinsip keharmonian dan perpaduan demi memastikan kandungan ekstremis sedemikian tidak mempengaruhi cara individu berfikir, bertindak dan rasa antara satu sama lain.



Sebagai umat Islam pula, Muslim perlu menentang ajaran yang bertentangan dengan nilai-nilai teras Islam.



"Kita perlu terus bekerjasama dengan masyarakat, termasuk belia kita, untuk menggalak keamanan, persefahaman bersama dan kerjasama dalam kalangan individu berlainan agama.



"Ancaman ekstremisme nyata dan tidak harus diambil ringan. Kita perlu sentiasa sedar perkara ini. Mari kita perkukuh kerjasama dan hubungan antara satu sama lain agar kita boleh terus melindungi keharmonian kaum dan agama Singapura," kata beliau, juga dalam satu pos di Facebook.




Apa kata Josephine Teo



"Ini sebabnya kita tiada toleransi terhadap individu atau penerbitan yang menimbulkan permusuhan atau keganasan dalam kalangan kumpulan agama berlainan. Kewaspadaan berterusan adalah satu keharusan, seperti tumpuan pada tugas membangunkan persahabatan, kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain, tidak kira bangsa dan agama, yang tidak pernah berakhir."
- Cik Josephine Teo, Menteri Perhubungan dan Penerangan, menekankan pandangan ekstremis boleh membuat anak muda menjadi radikal.



Apa kata Rahayu Mahzam 



"Kita perlu terus bekerjasama dengan masyarakat, termasuk belia kita, untuk menggalak keamanan, persefahaman bersama dan kerjasama dalam kalangan individu berlainan agama. Ancaman ekstremisme nyata dan tidak harus diambil ringan. Kita perlu sentiasa sedar perkara ini. Mari kita perkukuh kerjasama dan hubungan antara satu sama lain agar kita boleh terus melindungi keharmonian kaum dan agama Singapura."
- Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan).




KENYATAAN PENUH MUIS



Waspada penerbitan galak ideologi agama ekstremis



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menilai penerbitan berjudul Menyingkap Rahsia Tentera Elit Briged Izzuddin Al-Qassam: Generasi Muda Perindu Syahid dan mendapati ia mengandungi idea yang boleh mendatangkan masalah kerana menggalak jihad bersenjata, dan orang-orang yang melakukannya dijamin menerima ganjaran lumayan dari Tuhan.



Muis juga menekankan bahawa penerbitan itu antara faktor yang menyebabkan Amirull Ali, 20 tahun, menjadi radikal dan ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac 2021.



Muis menggesa masyarakat supaya berwaspada terhadap penerbitan seperti ini dan pandangan dan pemikiran yang terkandung.



Menggalak pandangan keagamaan dan ideologi ekstremis yang menyokong keganasan, permusuhan dan sifat tidak percaya bukan nilai-nilai Islam atau yang dimiliki masyarakat Muslim Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >