Topic followed successfully
Go to BHkuBuru ijazah perubatan meski sudah genggam Sarjana Muda Sains
Buru ijazah perubatan meski sudah genggam Sarjana Muda Sains
Antara 72 pelajar baru kohort ke-16 Sekolah Perubatan Duke-NUS
Buru ijazah perubatan meski sudah genggam Sarjana Muda Sains
MINAT yang membara sejak kecil mendorong beliau untuk menceburi bidang perubatan.
Itulah yang dikatakan oleh mantan pegawai projek di makmal neurobiologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Nadiah Mohd Hamzah, 24 tahun, apabila ditemu bual oleh Berita Harian (BH) mengenai keputusan beliau untuk menceburi program ijazah perubatan di Sekolah Perubatan Duke-NUS tahun ini.
Inspirasi untuk menjadi seorang doktor bermula dari kecil lagi ketika beliau menonton dokumentari Doctors Without Borders.
Anak bongsu dua beradik itu terpukau melihat pengorbanan doktor di dalam misi kemanusiaan yang seringkali mengutamakan keperluan pesakit daripada keperluan mereka sendiri.
Hasrat beliau untuk menceburi bidang perubatan semakin kuat apabila beliau menyertai penyedia khidmat penjagaan hospis, HomeCare Assist (HCA) Hospice Care sebagai relawan untuk mengetahui lebih lanjut tentang penjagaan paliatif.
Beliau kemudiannya menyertai pasukan Vigil Angels HCA dan menyumbangkan masanya dalam sesi terapeutik.
Ia khusus untuk memberikan keselesaan kepada pesakit yang berada di penghujung usia mereka dan masa bersama insan kesayangan.
"Sebagai seorang sukarelawan, saya dapat melihat dan memahami dengan lebih mendalam perspektif pesakit yang sakit tenat, serta cabaran yang dialami oleh keluarga dan penjaga mereka.
"Ini membakarkan lagi keinginan dan minat saya untuk menjadi seorang doktor agar saya boleh menggunakan kepakaran saya untuk memberikan bantuan kepada para pesakit yang memerlukannya," ujar Cik Nadiah yang telah meraih ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Hayat) dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dua tahun lalu.
Apabila ditanya mengenai impiannya sebagai seorang doktor pada masa hadapan, Cik Nadiah menyatakan bahawa beliau berharap mendapat peluang meningkatkan tahap penjagaan pesakit di dalam masyarakat dan juga di luar negara.
"Sebagai seorang doktor, saya akur bahawa saya perlu berkorban bagi memenuhi tanggung jawab berat untuk meningkatkan kehidupan para pesakit.
"Perjalanan untuk menjadi seorang doktor memang sukar tetapi dengan keyakinan yang ia akan membawa hasil positif kepada pesakit yang akan berada di bawah jagaan saya, ia mendorong saya untuk teruskan perjuangan saya untuk menjadi seorang doktor," ujar beliau yang berminat dalam bidang pembedahan, saraf dan penjagaan paliatif.
Apabila ditanya jika ia satu keputusan yang sukar baginya untuk kembali belajar semula bagi meraih ijazah berbeza, Cik Nadia menyatakan bahawa beliau mempunyai keyakinan bahawa beliau telah membuat keputusan terbaik.
Malah, beliau komited memberikan usaha terbaik dalam program perubatan itu.
"Saya tidak berasa bimbang yang saya masih belajar walaupun rakan-rakan saya sudah bekerja kerana perjalanan kehidupan kaya dengan pengalaman dan kita harus sentiasa meningkatkan kemahiran dan bertekad untuk belajar sepanjang hayat agar kekal relevan," ujarnya.
Beliau yang mempunyai minat dan hobi yang pelbagai seperti bersenam, membaca dan menyanyi adalah di antara 72 pelajar baru dari kohort ke-16 bagi program ijazah perubatan di Sekolah Perubatan Duke-NUS yang akan meraih ijazah perubatan pada 2026.
Kohort beliau yang memulakan pengajian sejak bulan lalu, adalah kohort pertama yang mengikuti kurikulum yang ditingkatkan dalam tahun pertama.
Peningkatan itu memberikan mereka peluang untuk memahami dengan lebih mendalam isu yang dihadapi oleh pakar penjagaan kesihatan dan pesakit dalam masyarakat agar mereka boleh memahami bagaimana meningkatkan tahap kesihatan dan gaya hidup masyarakat.
Peningkatan ini juga penting kerana ia sejajar dengan komitmen Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mengutamakan kesihatan rakyat melalui rancangan penjagaan kesihatan bagi setiap individu dengan bantuan dan sokongan daripada masyarakat.
"Saya tidak berasa bimbang yang saya masih belajar walaupun rakan-rakan saya sudah bekerja kerana perjalanan kehidupan kaya dengan pengalaman dan kita harus sentiasa meningkatkan kemahiran dan bertekad untuk belajar sepanjang hayat agar kekal relevan." - Cik Nadiah Mohd Hamzah, siswazah Sarjana Muda Sains (Sains Hayat) dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dua tahun lalu dan kini mengikuti pengajian bagi memburu ijazah perubatan di Sekolah Perubatan Duke-NUS.


