Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rojak sebagai simbol masyarakat SG, bilang budaya, bangsa

Apr 24, 2022 | 5:30 AM
- Foto NLB
- Foto NLB -

SINGAPURA memang terkenal dengan pilihan makanan yang beraneka. Salah satu makanan yang sangat digemari ramai ialah rojak.

Malahan, terdapat pelbagai jenis rojak dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang budaya dan bangsa.

Oleh itu, buku Raja Rojak ini sangat sesuai dibaca bersama kanak-kanak sebagai usaha permulaan untuk memperkenalkan mereka kepada kepelbagaian makanan rakyat Singapura!

Menerusi buku ini, kanak-kanak akan mempelajari bahawa rojak merupakan sejenis makanan amat terkenal yang boleh didapati dalam masakan masyarakat India, Melayu dan Cina.

Walau bagaimanapun, cara masakan atau persiapannya berbeza. Perbezaannya terletak pada bahan-bahan masakan yang digunakan untuk menimbulkan perisa yang berlainan.

Contohnya, bahan utama dalam Rojak India ialah vadai udang, sementara bahan utama Rojak Melayu (Rojak Bandung) ialah sotong dan kangkung. Rojak Cina (Rojak Char Kuey) pula banyak menggunakan nanas dan char kuey.

Walaupun begitu, ketiga-tiga jenis rojak masih mempunyai ciri persamaan.

Ramuan seperti timun dan kacang perlu ada. Kuah untuk disiram ke atas rojak ataupun dicecah juga tidak ketinggalan.

Secara tidak langsung, buku ini menyerlahkan keunikan masyarakat Singapura yang berbilang budaya dan bangsa menerusi paparan kepelbagaian tradisi kulinarinya.

Jalan cerita buku ini juga mengetengahkan adab berniaga yang patut diteladani sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Apabila sekumpulan pelancong mengunjungi gerai-gerai rojak di pusat penjaja makanan, para pegerai menyambut kedatangan mereka dengan amat mesra. Setiap pegerai cuba mendapatkan pelanggan untuk membeli rojak mereka dengan melaung-laungkan keunikan hidangan mereka tersendiri.

Budaya mempromosikan masakan ini merupakan amalan berniaga yang lazim, kreatif lagi sihat.

Setiap penulis maklum bahawa buku kanak-kanak harus mempunyai visual yang menarik untuk memikat perhatian pembaca sasaran.

Raja Rojak berjaya dari aspek ini kerana ilustrasi watak-wataknya sungguh comel dan lucu. Ilustratornya bijak mengisi setiap muka surat dengan lukisan atau coretan yang lembut dan tidak begitu tajam serta kasar.

Teknik sebegini lebih berkesan untuk menarik perhatian si kecil. Saiz buku berukuran A4 ini cukup besar dan selesa untuk dipegang pembaca.

Teksnya juga mudah dibaca.

Buku ini pasti menarik minat ramai pembaca tanpa mengira usia.

Tajuk dan kulit buku berkaitan rojak ini pasti menarik perhatian semua kerana ia membuka selera untuk makan dan membaca!

  1. Penulis Pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

"Menerusi buku ini, kanak-kanak akan mempelajari bahawa rojak merupakan sejenis makanan amat terkenal yang boleh didapati dalam masakan masyarakat India, Melayu dan Cina. Walau bagaimanapun, cara masakan atau persiapannya berbeza. Perbezaannya terletak pada bahan-bahan masakan yang digunakan untuk menimbulkan perisa yang berlainan." - Cik Nur Fitri Muhammad Syafran.

CARA MEMINJAM BUKU

'Raja Rojak' boleh dipinjam menggunakan Nombor Panggilan: J SING NUR

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg