CORAK budaya Melayu seperti motif bunga, batik dan ketupat menghiasi kereta api MRT, bas, stesen MRT dan hab pengangkutan bersepadu (ITH) sempena Hari Raya.
Hiasan Lebaran itu hasil kerjasama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dengan Kawasan Undi Geylang Serai dan pengendali pengangkutan awam SBS Transit dan SMRT.
Semasa pelancaran hiasan bertema Hari Raya itu, Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, menaiki kereta api yang memaparkan hiasan itu dari stesen Pasir Ris ke Paya Lebar.
Encik Fahmi berharap corak dan hiasan itu dapat memberi nafas baru kepada pengangkutan awam Singapura.
Corak dan motif berwarna-warni itu dapat dinikmati orang ramai dari Isnin hingga 21 Mei.
Sebanyak enam kereta api, satu bagi setiap enam laluan MRT, dihiasi dengan corak dan motif Hari Raya.
Laluan tersebut ialah Laluan Timur Laut (NEL), Laluan Downtown (DTL), Laluan Timur-Barat (EWL), Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Circle (CCL) dan Laluan Thomson-East Coast (TEL).
Turut dihiasi ialah bas perkhidmatan nombor 7, 12, 28, 70 dan 960 untuk membawa keceriaan perayaan kepada penumpang ketika membuat perjalanan.
Stesen MRT TEL Woodlands, NEL Punggol, DTL Bukit Panjang, EWL Boon Lay, EWL Bedok, CCL Paya Lebar dan ITH Yishun juga dihiasi dengan corak dan motif tersebut.
Selain itu disediakan fakta dan rekaan hiasan yang mendidik penumpang tentang tradisi Hari Raya.
Mengulas tentang fakta dan rekaan hiasan tersebut, Encik Fahmi berkata: "Kami ingin mengingatkan masyarakat supaya menegakkan nilai-nilai seperti menziarahi keluarga dan kawan untuk memohon maaf, memakai baju kurung berwarna-warni, menyambut tetamu di rumah dengan masakan tradisional dan kuih-muih, dan menerima sampul wang dengan kedua-dua tangan."
Pada penghujung pelancaran itu, pelajar dari Sekolah Rendah Admiralty membuat persembahan tarian dan koir yang menggambarkan semangat Hari Raya di stesen MRT CCL Paya Lebar.