MEMANDANGKAN tiada lagi kes berkaitan, dua kelompok jangkitan Covid-19 ditutup, jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Selasa malam (6 Julai).
Kelompok pertama berkaitan dengan kes wanita 61 tahun yang bertugas di pasar raya NTUC FairPrice di Clementi Avenue 3 manakala kelompok kedua pula melibatkan kedai gunting Atatcutz Singapore di Simpang Bedok.
Buat masa ini, terdapat 22 kelompok aktif yang mempunyai antara tiga hingga 93 kes. Kelompok di pasar dan pusat makanan Bukit Merah View adalah yang terbesar dengan 93 kes manakala kes baru dikesan di kelompok Hospital Besar Changi (CGH), 105 Henderson Crescent dan yang berkaitan dengan seorang pemandu warga Malaysia.
Pada Selasa, terdapat 10 kes jangkitan baru dikenal pasti dengan dua daripadanya merupakan kes masyarakat yang tiada kaitan dengan kes sebelum ini. MOH menambah salah satu kes menetap di dormitori. Baki lapan kes merupakan kes import.
Secara menyeluruh, bilangan kes baru dalam masyarakat berkurangan dari 76 kes dua minggu lalu kepada 24 kes minggu lalu. Bilangan kes tiada kaitan dalam masyarakat juga berkurangan dari 11 kes dua minggu lalu kepada lima kes minggu lalu.
Terdapat 99 kes kini dirawat di hospital dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan. Lapan kes pula berada dalam keadaan serius dan memerlukan sokongan oksigen manakala tiga lagi tenat di Unit Jagaan Rapi (ICU).
Sehingga 5 Julai, sebanyak 5,858,571 dos suntikan vaksin Covid-19 telah ditadbir buat 3,670,862 individu. Seramai 2,187,709 individu pula telah menerima suntikan kedua mereka dan tamat rejim vaksinasi penuh mereka.