PIHAK berkuasa tidak akan membenarkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke rumah datuk nenek setiap hari, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, hari ini.

Ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengekang penyebaran Covid-19. Sekiranya terdapat susunan untuk datuk nenek menjaga cucu mereka, ibu bapa harus meninggalkan anak-anak itu dengan datuk nenek mereka sepanjang tempoh 'pemutus litar' yang berakhir pada 4 Mei, katanya. Ini bagi melindungi warga emas dengan mengurangkan risiko pendedahan kepada virus, katanya di sidang akhbar Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian yang ditubuhkan untuk menangani pandemik Covid-19 di sini. Beliau akur pekerja dalam perkhidmatan penting mungkin mempunyai masalah dengan pengaturan ini kerana kedua-dua ibu bapa perlu ke kerja, dan anak-anak harus berada bersama datuk nenek mereka. Disebabkan itu, Encik Gan berkata pemerintah telah menyediakan khidmat penjagaan anak-anak buat pekerja perkhidmatan penting. Mereka yang perlu melawat ibu bapa yang tinggal sendirian untuk membantu dengan keperluan harian mereka akan dibenarkan berbuat demikian.