AGENSI Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan meningkatkan denda kepada pesalah berulang yang tidak mematikan enjin kereta mereka ketika ia tidak bergerak mulai 1 Jun ini.
Langkah berterusan itu diambil sebagai usaha untuk meningkatkan mutu udara sekeliling dan melindungi kesihatan awam.
Ia juga merupakan langkah pencegahan tegas terhadap pemandu yang melanggar undang-undang itu, kata NEA dalam satu kenyataan hari ini, Jumaat.
Kenyataan itu menambah denda lebih tinggi itu dikenakan kerana kes-kes kesalahan tersebut telah meningkat.
Antara 2013 dengan 2015, bilangan kes tersebut meningkat daripada sekitar 3,200 dalam 2013 kepada 3,800 pada 2014 dan 5,100 tahun lalu.
Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, NEA telah mengambil tindakan terhadap 1,489 pemandu bagi kesalahan berkenaan.
Di bawah undang-undang Perlindungan dan Pengurusan Sekitaran (Pengeluaran Kenderaan), adalah menjadi satu kesalahan jika pemandu tidak mematikan enjin kereta semasa ia tidak bergerak atas sebab-sebab selain daripada keadaan trafik.
Mulai 1 Jun ini, para pemandu yang didapati melakukan kesalahan tersebut untuk sesaat atau masa-masa seterusnya dikenakan denda kompaun $100, naik daripada $70 sekarang ini.
Jika denda kompaun itu tidak dibayar, pesalah yang didapati bersalah boleh dikenakan denda mahkamah maksimum $5,000.