MENTERI Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee (gambar kanan), sedang membuat lawatan pengenalannya ke Indonesia dari semalam hingga esok.
Encik Lee sedang melawat Jakarta dan Jawa Tengah, menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam.
Di Jakarta, Encik Lee akan bertemu dengan anggota pemerintahan Indonesia, termasuk Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto; Menteri Perancangan Pembangunan Negara, Encik Suharso Monoarfa dan Menteri Hal Ehwal Agraria dan Tata Ruang, Encik Sofyan Djalil.
Di samping itu, Encik Lee akan bertemu Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan dan Gabenor Jawa Barat, Encik Ridwan Kamil.
Di Jawa Tengah, Encik Lee akan bertemu Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo dan Bupati Kendal, Encik Dico Ganinduto untuk bertukar-tukar idea mengenai usaha memperdalam kerjasama antara Singapura dengan Jawa Tengah.
Encik Lee juga akan melawat Taman Perindustrian Kendal di Jawa Tengah, yang dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Joko Widodo pada November 2016.
Encik Lee diiringi oleh para pegawai dari MND.