MARAH terhadap seorang kawan yang menyuruhnya meninggalkan sebuah kedai kopi kerana terlalu bising, seorang lelaki pulang ke rumah untuk mendapatkan parang dan menyerang kawannya itu.
Marimuthu Subramaniam, 63 tahun, dipenjara 10 bulan pada Isnin (21 Mac) kerana menyebabkan kecederaan ke atas Encik K. Chandra Segaran, 48 tahun, yang mengalami luka pada leher kirinya.
Serangan itu berlaku berhampiran Blok 2 dan 4, Jalan Bukit Ho Swee, pada kira-kira 1.40 pagi 6 November lalu.
Mahkamah diberitahu bahawa Marimuthu sedang minum arak bersama Encik Segaran, Encik Shaik Ismail Mohd, 45 tahun, dan Encik M. Tamilchelvi, 52 tahun, di sebuah kedai kopi di Blok 4 pada malam 5 Nov apabila dia bertekak dengan Encik Tamilchelvi.
Encik Segaran, seorang drebar, memberitahu mereka supaya meninggalkan tempat itu kerana terlalu bising, membuat Marimuthu marah terhadapnya.
Dia beredar tetapi kembali membawa parang dan duduk di luar kedai kopi itu sambil menghadap mangsa dan Encik Ismail.
Dia mula menjerit pada Encik Segaran sambil menunjukkan dan menghayun parangnya.
Encik Shaik Ismail memberitahu Marimuthu supaya jangan menimbulkan apa-apa masalah, tetapi tidak berjaya.
Tidak lama kemudian, Encik Segaran berlepas pulang. Apabila beliau menghampiri Blok 2 dan 4, Marimuthu datang dan menetaknya di leher, menyebabkan beliau jatuh.
Encik Segaran berjaya melepaskan diri dan pulang ke rumah. Beliau kemudian menyedari bahawa darah keluar dari lehernya, dan menghubungi polis.
Beliau mengalami luka permukaan enam sentimeter.
Marimuthu mempunyai rekod kesalahan pecah masuk dan kecurian, pergaduhan, mabuk, tingkah laku tidak senonoh dan melanggar perintah perlindungan diri.