Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

Dilarang tapi masih ada ambil risiko hisap rokok 'Alibaba'

33 individu ditangkap Kastam Singapura dalam operasi penguatkuasaan rokok tidak dibayar cukai yang dijalankan di sekitar Chinatown, Geylang
Oct 12, 2022 | 05:30 AM



MESKIPUN selepas pegawai Kastam mendedahkan identiti mereka ketika bertugas, terdapat perokok yang masih cuba 'menggadai nasib' dengan menghisap rokok yang dilarang.



Dalam satu operasi penguatkuasaan yang dikongsi bersama media Sabtu lalu, apabila beberapa pegawai sedang mendapatkan kenyataan daripada seorang pesalah di sebuah tempat letak kereta di kawasan Marine Terrace, seorang pekerja migran yang sedang mengecat premis komersial dekat kawasan itu pula ditangkap kerana menghisap rokok tidak dibayar cukai semasa berehat.



Bukan sahaja itu, pekerja itu didapati memiliki sebungkus rokok haram buatan China yang disembunyikan dalam bungkusan rokok sah.



Ketika ditanya, pekerja Bangladesh berusia 32 tahun itu berkata dia curiga terhadap kekecohan yang sedang berlaku di tempat letak kereta itu, namun tidak perasan pegawai Kastam sedang menjalankan tugas mereka.



"Kalau saya tahu mereka pegawai Kastam sudah tentu saya tak lakukan ini," katanya.



Dia juga mendakwa rokok yang dipanggilnya sebagai rokok 'Alibaba' dibeli di dormitori yang 'diselitkan' bersama bungkusan rokok yang sah.



Pekerja migran itu adalah antara 33 individu berusia antara 32 dengan 70 tahun yang ditangkap Kastam Singapura dalam satu operasi penguatkuasaan rokok tidak dibayar cukai yang dijalankan di sekitar Chinatown dan Geylang pada Sabtu lalu.



Kesemua pesalah merupakan lelaki - 24 daripada mereka adalah pekerja migran manakala baki sembilan adalah warga tempatan.



Seramai 25 pesalah diberi saman berjumlah antara $500 dengan $1,300, enam disiasat atas kesalahan di bawah Akta Kastam dan baki dua diberi amaran.



Sebanyak 11 bungkusan dan 160 batang rokok haram pelbagai jenama turut dirampas.



Pihak media dibenarkan mengiringi pegawai Kastam dalam operasi penguatkuasaan itu di beberapa lokasi; satu pasukan di kawasan Geylang dan satu lagi di Chinatown antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang.



Bermula di Pasar Geylang Serai sekitar 1 petang, beberapa pegawai berpakaian preman mendapati beberapa lelaki sedang merokok dan memiliki rokok tidak dibayar cukai di bawah jejambat lalu lintas antara pasar itu dengan Joo Chiat.



Ada di antara mereka mempunyai rekod kesalahan serupa terdahulu apabila diperiksa menerusi kemudahan data dalam iPad dibawa pegawai.



Salah seorang pesalah, seorang pegawai keselamatan, dikenakan denda kompaun $800.



Namun kerja mereka bukan setakat mendekati perokok dan memeriksa rokok yang dihisap itu mempunyai tanda SDPC (Rokok Dibayar Cukai Singapura) serta memberi saman sahaja.



Jika perlu, mereka juga akan melakukan siasatan lanjut di kediaman pesalah jika didapati pesalah menyorok bekalan rokok itu.



Media kemudian diberitahu sepasukan pegawai lain yang meronda Paya Lebar Square mendapati seorang lelaki warga China memiliki rokok haram dan dia mengaku mempunyai beberapa kotak rokok itu di kediamannya.



Media diajak memasuki flat tiga bilik yang disewanya di Sims Drive itu pada sekitar 1.50 tengah hari sesudah pegawai melaksanakan pencarian bekalan rokok haramnya.



Lelaki berusia 36 tahun itu yang sedang duduk di meja makan unit itu kemudian disoal pegawai sementara sekitar sembilan kotak rokok buatan China diletak di atas meja tersebut.



Teman seflatnya didapati tidak peduli dengan keberadaan pegawai Kastam di dalam rumah dan sibuk menggosok giginya di luar tandas di dapur flat tersebut sementara para pegawai menjalankan siasatan.



Sesudah mengeluarkan saman berjumlah $1,300 kepada pesalah itu mereka membawanya pulang ke Paya Lebar Square kerana dia mendakwa basikalnya ditinggalkan di situ.



Media kemudian bergerak ke Marine Terrace pada sekitar 3.30 petang sesudah berhenti sekejap di kawasan Aljunied untuk meninjau kawasan tersebut.



Di sebuah tempat letak kereta di Marine Terrace, salah seorang pesalah dari Geylang Serai terlebih dahulu sedang disoal siasat oleh pegawai kerana didapati mengelak daripada membayar saman berjumlah $1,000 bagi kesalahan serupa sebelum ini.



Ketika sedang bertugas, pegawai Kastam tiba-tiba mengesan pekerja migran Bangladesh itu sedang menghisap rokok haram buatan China. Beliau dikenakan denda kompaun $500.



Operasi kemudian berakhir sekitar 4.30 petang selepas kedua-dua pasukan dari Chinatown dan Geylang bertemu. Namun pegawai lain masih aktif bertugas di kawasan masing-masing.



Ketua Jabatan Pembanterasan dan Pendekatan Masyarakat Kastam Singapura, Encik Chua Teck Hui, berkata perokok mungkin tertarik dengan rokok tidak dibayar cukai kerana harganya yang lebih rendah berbanding rokok sah di sini.



"Namun mereka perlu memikirkan semula sebelum membuat risiko itu dan menimbangkan kos denda tegas yang dikenakan ke atas mereka jika ditangkap.



"Untuk mengurangkan permintaan rokok tidak dibayar cukai, pegawai Kastam melaksanakan rondaan harian dan pemeriksaan ke atas perokok," katanya lagi.



Mereka didapati bersalah memiliki sehingga satu bungkus rokok haram buat pertama kali boleh didenda sehingga $500.



Denda lebih berat boleh dikenakan jika memiliki lebih daripada sebungkus atau mengulangi kesalahan itu dan mereka juga boleh didakwa di mahkamah.




SEKILAS OPERASI KASTAM S'PURA



Tarikh: 8 Oktober 2022



Lokasi: Kawasan Chinatown dan Geylang



Sasaran: Individu yang memiliki rokok tidak dibayar cukai



Jumlah rokok dirampas: 11 bungkusan dan 160 batang rokok



Jumlah pesalah: - 33 lelaki berumur antara 32 dengan 70 tahun



- 24 warga asing, 9 warga S'pura



- 2 diberi amaran



- 25 disaman antara $500 dengan $1,300



- 6 disiasat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >