Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TIMBALAN PERDANA MENTERI LAWRENCE WONG DI MALAYSIA

DPM Wong: Hubungan, persahabatan bersama pemimpin M'sia penting dibina

Bantu kededua pihak atasi perbezaan dan teruskan hubungan dua hala
Sep 07, 2022 | 05:30 AM



TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akur sangat penting buatnya berusaha memperkukuh atau membina hubungan peribadi dan persahabatan dengan lebih ramai pemimpin di Malaysia kini bagi membantu kededua pihak mengatasi perbezaan dan meneruskan hubungan dua hala yang baik.



Selanjutnya, dengan dua negara jiran ini mengorak langkah dalam peralihan kepimpinan masing-masing kelak, beliau tentunya akan menggalak lebih ramai menteri lebih muda di Singapura untuk berkunjung ke Malaysia dan mengalu-alukan kedatangan menteri Malaysia ke Singapura untuk meneruskan usaha membangun hubungan peribadi ini.



Demikian jelasnya kepada media setempat semalam, ketika mengulas lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia setelah dilantik sebagai DPM pada Jun lalu.



"Saya fikir hubungan sebegini dapat membantu kami membincangkan isu-isu bagi mengatasi perbezaan dan terus memperkukuh hubungan dua hala kita... maksud saya antara dua jiran terdekat.



"Dari masa ke masa, kita akan sentiasa mempunyai isu yang akan timbul, sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, kerana persahabatan yang terjalin dan kerana hubungan akrab yang kita miliki, di peringkat peribadi dan antara dua negara, kita dapat membincangkan perbezaan.



"Secara terus terang, kita dapat meleraikan perbezaan ini dalam konteks hubungan kita yang lebih meluas, sentiasa mengambil pendekatan menyeluruh melanjutkan dan memperkukuh hubungan dua hala kita. Begitulah cara kita melakukannya untuk berdekad lamanya. Inilah yang akan kita teruskan."



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, memulakan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia sejak Ahad lalu.



Selain mengadakan perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah, beliau juga bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.



Beliau juga memulakan lawatannya dengan sesi bermain gitar dan minum teh tarik bersama Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.



Awal daripada itu, Encik Wong menjelaskan beliau telah pun mengenali beberapa menteri Malaysia sebelum ini.



Misalnya, persahabatan dengan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, sudah terjalin sejak mereka berdua memegang jawatan menteri kebudayaan dan sukan serta belia dahulu.



Hubungan dengan Tengku Zafrul pula bukan baru, kerana wujud beberapa peluang bagi Encik Wong bertemunya secara maya dan juga pada mesyuarat antarabangsa.



"Justeru, melalui kunjungan ini, saya berpeluang memperkukuh beberapa hubungan yang sedia ada, tetapi bagi yang lain seperti Datuk Seri Hishammuddin dan beberapa menteri lain, saya pernah bertemu mereka sebelum ini tetapi tidak begitu dapat meluangkan banyak masa kerana kami biasanya bertemu dalam konteks suasana lebih meluas seperti permukiman pemimpin... justeru, anda tidak begitu berpeluang meluangkan masa peribadi bersama mereka," jelasnya.



Menjawab pertanyaan tentang respons Datuk Seri Ismail mengenai keterbukaan Singapura mengalu-alukan usulan baru berhubung dengan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur, Encik Wong berkata:



"Pertemuan itu ringkas. Kami tidak membincangkannya secara terperinci. Ia adalah sesuatu yang telah kami katakan sebelum ini kepada rakan sejawatan di Malaysia. Apa sahaja yang telah berlaku sudah berlalu dan kami telah menutup bab itu dan mengalu-alukannya... jika terdapat minat bagi pihak Malaysia untuk menghidupkan semula projek HSR ini, boleh dikemukakan usulan baru untuk kami tinjau dan kami tentunya amat terbuka bagi sebarang usulan baru."



Mengenai maklumat terkini tentang eksport ayam ke Singapura dari Malaysia, Encik Wong berkata beliau diberitahu oleh mereka yang ditemui bahawa Malaysia sedang meninjau perkara ini dan mempertimbangkannya pada satu peringkat apabila sudah bersedia menyambung semula kerja mengeksport ayam berkenaan.



"Tiada tarikh khusus yang diberikan kepada saya tetapi mereka sedang mempertimbangkannya dan meninjau langkah menyambung semula eksport itu tidak lama lagi," jelas Encik Wong, sambil menambah Singapura turut mengambil langkah mempelbagai import ayam segar dan mempunyai bekalan ayam beku sebagai gantian.




"Saya fikir hubungan sebegini dapat membantu kami membincangkan isu-isu bagi mengatasi perbezaan dan terus memperkukuh hubungan dua hala kita... maksud saya antara dua jiran terdekat.

Dari masa ke masa, kita akan sentiasa mempunyai isu yang akan timbul, sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, kerana persahabatan yang terjalin dan kerana hubungan akrab yang kita miliki, di peringkat peribadi dan antara dua negara, kita dapat membincangkan perbezaan."

- Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >