Dr Norshahril penerima Anugerah Bawean Teladan 2023
Dr Norshahril penerima Anugerah Bawean Teladan 2023
Dr Norshahril penerima Anugerah Bawean Teladan 2023
ZAMIL Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, menjadi penerima ke-10 Anugerah Bawean Teladan yang disampaikan petang Sabtu.
Dr Norshahril, 40 tahun diberi pengiktirafan tersebut atas pencapaian, serta sumbangan beliau bukan sahaja untuk masyarakat Muslim setempat, malah di peringkat nasional juga.
Ini dinyatakan, Presiden Persatuan Bawean Singapura (PBS), Encik Faizal Wahyuni semasa dihubungi wartawan.
"Pencapaian beliau bukan sahaja di peringkat akademik, malah beliau juga menabur bakti kepada masyarakat," katanya.
Diminta komennya, Dr Norshahril, yang juga pengerusi di Yayasan Warisan Melayu menganggap penyampaian tersebut merupakan pengiktirafan dalam kerjayanya sebagai pengamat politik dan kemasyarakatan.
"Dengan dorongan ini, saya harap dapat melakukan lebih lagi buat masyarakat demi kemajuan masyarakat Bawean, Melayu, dan juga kebangsaan.
"Saya beranggapan bahawa setiap orang boleh menjadi teladan jika kita melakukan pekerjaan kita dengan baik. Saya ambil teladan daripada keluarga saya sendiri, dan juga leluhur masyarakat Bawean, yang bersemangat membantu sesama kita," katanya yang juga bilal solat Jumaat di salah sebuah masjid di sini.
Anugerah disampaikan oleh tetamu terhormat Mantan Anggota Parlimen, Encik Yatiman Yusof di Hotel Furama Riverfront.
Kali terakhir anugerah ini disampaikan ialah pada 2019 kepada mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Ustaz Mohamad Rais.
Sementara itu, Encik Faizal juga berkongsi bahawa PBS yang ditubuhkan pada 1934 bertujuan menghantar anggota remajanya ke Indonesia sebagai satu pertukaran dengan Perkumpulan Keluarga Bawean Batam (Perkab) untuk menubuhkan Sanggar Seni Budaya Phebien di Batam.
"Kami harapkan akan hidup semula persembahan budaya Bawean dan menimbulkan minat di kededua Singapura dan Indonesia untuk lebih menghargai budaya tradisi boyan," katanya.

