Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dulu pelajar tercicir, kini di menara gading

Terpaksa berhenti sekolah demi tampung kehidupan keluarga
Jul 05, 2021 | 05:30 AM



Membesar dalam keluarga yang miskin, mantan Presiden Singapura, mendiang SR Nathan, cukup faham kesukaran meneruskan pendidikan di sekolah sambil memastikan keperluan seharian terjaga. Pada 2011, beliau menubuhkan Dana Pendidikan Peningkatan SR Nathan (SRNEUF) yang bertujuan menolong pelajar kurang berkemampuan dengan memberi mereka bantuan kewangan. Tahun ini, dana tersebut memasuki tahun ke-10 sejak penubuhannya. BERITA HARIAN menyorot kisah dua pelajar yang telah meraih manfaat daripada SRNEUF.




SEMASA di tahun pertamanya di Institut Millenia (MI), bapa Encik Arshad Supa'at menderita kegagalan buah pinggang sehingga mengakibatkan beliau tidak lagi dapat bekerja.



Bapanya, Encik Supa'at Sarajoo, kini berusia 72 tahun.



Sebagai anak sulung lelaki dengan adik perempuannya masih di sekolah menengah ketika itu, Encik Arshad terpaksa mengambil keputusan berhenti sekolah dan mencari kerja demi membantu menyara keluarganya.



Ibunya, yang tidak ingin namanya disiarkan dan kini berusia 62 tahun, juga terpaksa mendapatkan pekerjaan setelah sekian lama menjadi suri rumah.



"Waktu itu saya sudah bekerja sambilan untuk membiayai keperluan sendiri, tapi saya rasa saya patut melakukan lebih untuk membantu keluarga, jadi saya berhenti sekolah dan kerja sepenuh masa," kongsi Encik Arshad, yang kini berusia 33 tahun.



Setelah tamat Perkhidmatan Negara (NS) dan dengan hanya berbekalkan sijil peperiksaan GCE peringkat 'O', beliau sedar amat sukar baginya mendapatkan pekerjaan.



"Saya mula mencari kerja sekitar sebulan sebelum tarikh ORD (Tempoh Tamat Perkhidmatan) tapi sangat susah dan pilihan kerja juga terhad sebab saya hanya ada (sijil) peringkat 'O'.



"Saya cuba menduduki peperiksaan GCE peringkat 'A' secara privet semasa NS tetapi amat payah untuk belajar sendiri kerana saya tak ada sesiapa yang boleh saya minta bantuan atau bimbingan," ujarnya.



Tanpa banyak pilihan lain, Encik Arshad bekerja dalam industri runcit setelah NS "namun waktu kerjanya panjang dan gajinya tidak begitu baik".



Bertekad mahu meningkatkan dirinya demi mendapatkan kerja dengan gaji lebih lumayan, beliau menyertai Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central dan mengambil kursus peringkat Nitec Lanjutan dalam Pengajian Perniagaan (Pentadbiran).



Kembali ke bilik darjah setelah sekian lama meninggalkan sekolah bukan sesuatu yang mudah, akur anak sulung dua beradik itu.



"Minda saya pun dah macam 'berkarat'... tetapi pensyarah di sana amat baik dan sabar. Rakan-rakan sekelas saya juga saling menyokong.



"Kami semua mahu berjaya dan memasuki politeknik, jadi sekitaran itu amat baik dan membantu," ujar beliau.



Semasa di ITE, Encik Arshad bekerja sambilan sebagai penghantar makanan untuk menampung keperluannya.



Malangnya, beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya dan terpaksa berhenti kerja.



Mujur, pada 2012, beliau menerima bantuan daripada Dana Peningkatan Pendidikan SR Nathan (SRNEUF) "yang sangat membantu".



"Saya tidak perlu risau tentang kewangan dan boleh fokus terhadap pelajaran serta penyembuhan saya (setelah kemalangan).



"Ia membantu dengan perbelanjaan sekolah dan kehidupan seharian saya dan disebabkan ini, serta bantuan daripada keluarga, guru dan rakan sekelas, saya dapat tamat pengajian (di ITE) dan melanjutkan pendidikan ke politeknik," kata Encik Arshad, yang turut menerima Anugerah Tay Eng Soon dan Biasiswa Lee Kuan Yew Bagi Menggalak Peningkatan (LKY-STEP) ketika tamat ITE pada 2013.



Meskipun berdepan banyak cabaran sepanjang perjalanan pendidikannya, beliau turut berjaya mendapatkan Diploma dalam Perniagaan Antarabangsa dari Politeknik Singapura (SP) pada 2016.



Tidak lama lagi, Encik Arshad bakalmenggenggam ijazah sarjana mudanya pula.



Beliau sedang menuntut di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam bidang Kerja Sosial dan pada masa yang sama bekerja dengan sebuah badan bukan mencari keuntungan, New Life Stories, sebagai eksekutif hubungan sukarelawan.



Dalam tugasnya itu, Encik Arshad bekerja dengan keluarga-keluarga yang terperangkap dalam kitaran pemenjaraan untuk cuba membebaskan diri daripada kitaran tersebut.



Berazam mahu berkhidmat dalam sektor perkhidmatan sosial setelah tamat pengajiannya nanti, beliau menambah:



"Saya sangat percaya dan yakin bahawa pendidikan boleh menjadikan kita sama rata di peringkat sosial.



"Tidak kira asal usul anda atau latar belakang sosial atau keluarga anda, jika anda melakukan yang terbaik, pendidikan boleh membuka pintu bagi anda."




DANA PENINGKATAN PENDIDIKAN SR NATHAN (SRNEUF)



Mantan Presiden Singapura, Mendiang SR Nathan, menubuhkan Dana Peningkatan Pendidikan SR Nathan (SRNEUF) pada 2011 untuk menolong pelajar dengan memberi mereka bantuan kewangan demi memastikan mereka terus bersekolah dan membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi



Dikelola oleh Yayasan Masyarakat Singapura (CFS), dana tersebut menyokong program seperti Skim Bantuan Kewangan Bulanan (MFAS) Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang memberi pelajar kurang berkemampuan elaun pengangkutan dan makanan untuk mengurangkan beban kewangan mereka dan membenarkan mereka memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.




"Saya sangat percaya dan yakin bahawa pendidikan boleh menjadikan kita sama rata di peringkat sosial. Tidak kira asal usul anda atau latar belakang sosial atau keluarga anda, jika anda melakukan yang terbaik, pendidikan boleh membuka pintu bagi anda."
- Encik Arshad Supa'at.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >