Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Enam pertubuhan sumbang dana Masjid Khadijah, peluasan pusat RRG

Apr 12, 2022 | 05:30 AM



RANCANGAN pembangunan semula Masjid Khadijah dan peluasan Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mendapat rangsangan dengan sumbangan oleh enam pertubuhan Melayu/Islam.



Ia sejajar dengan projek pengumpulan dana dilancarkan semalam bagi membolehkan lebih ramai anggota masyarakat untuk tampil ke hadapan bagi menyokong inisiatif itu.



Enam pertubuhan - Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), AMP, Jamiyah Singapura, Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), Persatuan Muslim India Bersatu (Uima) dan Persatuan Bangladesh Singapura - menyampaikan cek derma untuk disumbangkan kepada projek pengumpulan dana itu. Jumlah dana dikumpulkan tidak didedahkan.



Ia diadakan sempena acara iftar menyusuli seminar suku tahunan RRG yang turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean sebagai tetamu terhormat.



Naib pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata rancangan pembangunan semula masjid dan peluasan RCC menjadi kenyataan hasil sokongan geran, derma, usaha dan idea daripada pelbagai rakan dan masyarakat.



"Dana tersebut membolehkan kami menjalankan kegiatan dan juga mengekalkan pusat sumber kami.



"Dengan pelancaran projek pengumpulan dana hari ini, kami berharap lebih ramai akan tampil untuk menderma dan menyokong inisiatif ini," kata beliau, yang juga anggota lembaga pengurusan Masjid Khadijah.



Ustaz Dr Mohamed menambah rancangan pembangunan semula itu satu detik penting dalam sejarah Masjid Khadijah dan RRG, sambil berkata kemudahan dipertingkat dan prasarana baru akan membolehkan RRG menyediakan pengalaman lebih baik dan berkesan kepada pengunjung dan masyarakat.



Projek pembangunan semula masjid dan peluasan pusat itu dijangka selesai pada tahun depan sempena ulang tahun ke-20 RRG pada April.



Projek itu merangkumi antaranya rancangan membina galeri luar pusat tersebut, dewan serbaguna yang lebih luas, serta memasang lif baru di masjid yang berusia lebih 100 tahun itu.



Dalam ucapannya semalam, Encik Teo berkata RRG kini mempunyai tugas yang semakin penting sedang Singapura terus berdepan dengan ancaman daripada kumpulan pengganas di rantau ini.



Memperingati kejadian penangkapan JI di Singapura dua dekad lalu, Encik Teo berkata peristiwa itu menunjukkan Singapura tidak boleh bergantung hanya kepada agensi-agensi keselamatan untuk menentang keganasan dan ekstremisme.



Sebaliknya, seluruh masyarakat diperlukan untuk sentiasa berwaspada dan bekerjasama dalam usaha itu.



Tetamu khas lain yang turut hadir termasuk Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.



LAPORAN SELANJUTNYA: RRG pikul peranan lebih penting: SM Teo




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >