PLATFORM e-dagang Facebook Marketplace dan Carousell kekal di tangga terbawah dalam tahun kedua sebuah senarai sistem rating antara kementerian yang menilai keselamatan urus niaga dalam talian bagi pelanggan. Amazon, Lazada dan Qoo10 terus menduduki tangga teratas senarai itu dengan empat tanda betul (tick) penuh, kata Jawatankuasa mengenai Penipuan Antara Kementerian (IMCS) pada Khamis, dalam laporan tahunannya, Rating Keselamatan Urus Niaga Pasar E-dagang. Penipuan e-dagang adalah antara jenis penipuan teratas di sini, dengan sekitar 4,762 kes penipuan dilaporkan pada 2022, yang sekitar 75 peratus lebih tinggi daripada 2021, kata jawatankuasa itu. Tiga daripada lima penipuan e-dagang dijalankan menerusi Carousell dan Facebook, yang kededuanya menawarkan pilihan menamatkan transaksi di luar platform tersebut. Carousell mencatatkan 1,834 kes yang dilaporkan pada 2022, manakala Facebook di kedudukan kedua dengan 1,138 kes yang dilaporkan, dan Shopee di tangga ketiga dengan 311 kes. Platform mesej dalam talian Telegram juga disertaka dalam senarai itu dan berada di tangga keempat dengan 288 kes penipuan dilaporkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg