EMPAT anggota baru Lembaga Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) telah dilantik termasuk mantan Ketua Pegawai Risiko Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC), Dr Chia Tai Tee serta Pengasas Bersama dan Pengarah firma teknologi Isgn Ventures Pte Ltd, Encik Fazli Mansor.
Dua lagi anggota baru ialah pengarah urusan dan ketua kumpulan Sumber Manusia (HR) DBS Group Holdings, Cik Lee Yan Hong dan Profesor Emeritus di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Pang Yang Hoong, menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) semalam.
Pengerusi, Cik Tan Ching Yee, yang juga Setiausaha Tetap (Kewangan) dari MOF dan lima anggota dilantik semula mulai Khamis ini.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) mengenai pelantikan beliau, Encik Fazli menyatakan beliau berharap dapat berkongsi pengetahuannya mengenai transformasi digital serta cabaran yang dihadapi oleh syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk menyediakan hala tuju strategik bagi agensi itu.
"Saya amat bersyukur kerana berpeluang dilantik sebagai ahli lembaga Iras dan saya berharap saya dapat memberikan pandangan yang berharga berdasarkan pengalaman menjalankan perniagaan saya sendiri dan juga pengalaman saya di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
"Saya juga harap saya akan berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam tentang dasar cukai Singapura," ujar beliau yang juga memegang jawatan setiausaha kehormat di DPPMS, dan telah berkhidmat dalam lembaga itu sejak 2017.
Encik Fazli juga mempunyai pengalaman luas dalam portal web dan pembangunan aplikasi dan telah menyelia pembentukan Pejabat Transformasi Digital@DPPMS serta penubuhan Protege Kita, satu program perniagaan untuk membantu mereka yang berjinak dalam bidang keusahawanan.
Sebelum ini, beliau juga pernah menjadi ahli Lembaga bagi Yayasan Mendaki dalam Majlis Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam Singapura dari 2020 hingga 2022.