Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Firma S'pura harus teroka peluang baru di Afrika: PM Lee

Walau benua besar dan kompleks, negara Afrika ada semangat muhibah dan ingin bangun hubungan baik dengan S'pura
May 20, 2023 | 05:30 AM



SEDANG syarikat Singapura meneroka pasaran baru, mereka harus memberi perhatian pada Afrika, yang mempunyai banyak peluang perniagaan, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada Khamis.



Afrika mempunyai semangat, muhibah dan keinginan membangunkan hubungan baik dengan Singapura, meskipun ia sebuah benua besar dan kompleks, dan bukan tanpa risiko, ujar beliau kepada media di akhir lawatan enam harinya ke Afrika Selatan dan Kenya.



Di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar, yang memerlukan syarikat Singapura menyesuaikan diri, mengubah dan meneroka pasaran baru, Encik Lee menggesa perniagaan supaya melihat lebih jauh sambil mengukuhkan usaha niaga mereka yang sedia ada.



"Kita kenal Asia, China, India; kita ada ekonomi maju yang sudah menjadi pasaran kita sejak kita mula melalui perindustrian," kata Encik Lee.



"Tetapi sementara kita membangunkan ekonomi di negara-negara ini, kita juga perlu pergi dan meneroka kawasan baru. Dan Afrika adalah salah sebuah benua yang perlu kita perhatikan."



Encik Lee berkata benua itu muda dan dinamik, dan perniagaan boleh berjaya jika syarikat berusaha memahami negara mana yang mempunyai suasana dan sistem politik stabil dan sesuai untuk pelaburan.



Baru-baru ini, beliau juga menggesa rakyat Singapura supaya mempunyai semangat berdikari dan berusaha mewujudkan kemakmuran negara dalam dunia yang bergolak.



Semasa perbahasan mengenai Amanat Presiden pada pembukaan penggal baru Parlimen pada April, Encik Lee berkata penakatan Singapura bergantung pada keupayaannya menjalankan perniagaan dan memberi nilai kepada negara lain.



Oleh itu, Singapura harus kekal terbuka dan terhubung, sambil bersedia mengambil risiko dan berinovasi.



"Ada negara (di Afrika) mempunyai banyak masalah, ada negara lain pula mempunyai peluang. Dan terdapat juga negara yang kompleks, tetapi terdapat peluang di dalamnya jika anda tahu dengan siapa untuk berganding bahu, dan bidang mana yang perlu diceburi.



"Di Afrika Selatan dan di Kenya, terdapat peluang seperti itu, yang harus kita manfaatkan," kata Encik Lee.



Pada Selasa, Encik Lee menyatakan ada firma Singapura yang telah menemui tukikan mereka di negara Afrika dan telah berkembang dan makmur.



"Kami ingin lebih banyak syarikat Singapura datang dan meneroka dan mengenali suasana perniagaan di sini," katanya.



"Walaupun anda tidak bergerak serta-merta, sekurang-kurangnya anda tahu apa yang boleh berlaku di sini supaya anda tidak terlepas peluang yang baik," kata Encik Lee.



Dengan lawatan terbaru ini, Encik Lee telah melawat tiga negara Afrika dalam setahun. Pada Jun 2022, beliau berada di Rwanda untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Pemerintah Komanwel dan lawatan rasmi dua hala.



Encik Lee berkata beliau berhasrat melawat Afrika Selatan dan Kenya semasa lawatan itu tetapi tidak mempunyai tarikh sesuai. Beliau kemudian memutuskan datang kembali, dengan rombongan perniagaan, dengan harapan lawatan itu akan menjana hubungan baru.



Encik Lee menambah bahawa pemerintah akan terus membina hubungan baik dengan negara Afrika untuk memudahkan perniagaan tempatan memasuki pasaran itu.



Sebagai contoh, Encik Lee dan Presiden Kenya, Encik William Ruto, mengumumkan selepas mereka bertemu pada Khamis bahawa perjanjian pelaburan dua hala antara dua negara ini kini telah berkuat kuasa, manakala pegawai dari kedua-dua pihak akan berusaha menyelesaikan perjanjian pengelakan cukai berganda secepat mungkin.



Kedua-dua perjanjian itu ditandatangani pada 2018 semasa lawatan Encik Tharman Shanmugaratnam, Timbalan Perdana Menteri ketika itu.



"Kami juga telah merundingkan runding (perjanjian) dengan beberapa negara Afrika yang lain, yang juga belum dikuatkuasakan dan kami akan menggesa mereka juga," kata Encik Lee.



"Pokoknya, ada muhibah antara kedua-dua pihak, jadi terdapat suasana positif di mana syarikat-syarikat boleh meneruskan projek sektor swasta mereka."




"Kami ingin lebih banyak syarikat Singapura datang dan meneroka dan mengenali suasana perniagaan di sini. Walaupun anda tidak bergerak serta-merta, sekurang-kurangnya anda tahu apa yang boleh berlaku di sini supaya anda tidak terlepas peluang baik."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menggesa perniagaan Singapura supaya merebut peluang perniagaan di Afrika.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >