Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faktor di sebalik kadar sewa flat, kondo meningkat

Harga sewa flat tiga bilik pada masa kini adalah antara $1,800 dengan $2,000; sedang harga sewa flat empat dan lima bilik kini adalah antara $2,000 dengan $3,200. Ini berbanding $1,500 bagi flat tiga bilik; $1,800 (empat bilik); dan $2,400 (lima bilik) semasa 2018/2019.
May 17, 2022 | 05:30 AM



Pandemik Covid-19 telah menjejas banyak sektor termasuk sektor binaan. Akibatnya banyak projek Bina Ikut Tempahan (BTO) HDB yang tergendala sehinggakan ramai yang 'terperangkap' gara-gara penangguhan flat-flat BTO mereka. Bagaimanakah ini menjejas harga sewa flat dan kondominium di sini? BERITA HARIAN melaporkan.




HARGA sewa bagi kebanyakan unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta kondominium sedang dalam trend peningkatan setelah meningkat sepanjang tahun lalu.



Dianggarkan kenaikan adalah antara $100 dengan $700 bagi flat HDB dan kondominium, menurut beberapa ejen hartanah yang dihubungi Berita Harian (BH).



Rata-rata penangguhan projek-projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) HDB merupakan punca utama kenaikan harga sewa.



Faktor lain ialah permintaan yang meningkat dalam kalangan warga Malaysia yang ingin tinggal di Singapura meskipun sempadan telah dibuka dan permintaan dari pekerja asing yang kembali ke Singapura.



Menurut Pengarah Kumpulan Bersekutu, Propnex, Cik Raina Husin, harga sewa flat tiga bilik pada masa kini adalah antara $1,800 dengan $2,000; sedang harga sewa flat empat dan lima bilik kini adalah antara $2,000 dengan $3,200.



Ini berbanding $1,500 bagi flat tiga bilik; $1,800 (empat bilik); dan $2,400 (lima bilik) semasa 2018/2019, kata Cik Raina.



"Penangguhan projek-projek binaan BTO merupakan antara penyumbang kepada kenaikan ini.



"Ada pasangan yang menumpang dengan ibu bapa. Tetapi, ada juga yang menyewa bilik atau seluruh unit flat dan kondominium kerana flat ibu bapa mereka mungkin terlalu kecil untuk dihuni," katanya.



Hal ini turut disetujui Pengarah Pemasaran Bersekutu ERA Pte Ltd, Cik Rafidah Abdul Rahman.



Beliau anggarkan harga sewa flat dua bilik naik sekitar $200 sementara bagi flat lima bilik, harga sewanya meningkat sekitar $700 - pada masa kini berbanding sebelum pandemik Covid-19.



"Ada pasangan yang perlu menanti sehingga setahun dua untuk mendapat kunci flat BTO mereka yang tertanggguh pembinaannya.



"Saya juga jangkakan harga sewa flat akan terus meningkat berdasarkan harga pasaran flat jual semula serta barangan lain terus naik pada masa ini," katanya.



Difahamkan selain warga Malaysia, kebanyakan mereka yang menyewa flat atau kondominium merupakan pasangan muda dan mereka yang mempunyai keluarga berangkai, termasuk anak dan ibu bapa mereka juga.



Ini termasuk juga mereka yang sudah menjual flat dan masih menantikan flat BTO siap tetapi tidak mempunyai tempat tinggal akibat penangguhan projek-projek pembinaan.



Pada masa yang sama, harga sewa juga bergantung kepada kemudahan yang tersedia dalam kawasan estet perumahan itu.



Kemudahan seperti dekat dengan stesen MRT, pasar, dan klinik dan dengan tempoh berjalan kaki sekitar 10 minit ke semua kemudahan tersebut, merupakan antara yang diinginkan para penyewa, kata Cik Raina.



"Apatah lagi sejak berlakunya wabak Covid-19, maka ramai dalam kalangan kita yang bekerja dari rumah (WFH), jadi mereka ingin semua kemudahan tersebut berdekatan flat yang disewa, untuk memudahkan pergerakan mereka," kata Cik Raina.



Pengarah Penasihat Divisyen Kumpulan ERA Realty Network Pte Ltd, Encik Muhammad Syafiq Mohd Esa, berkata harga sewa yang meningkat sejak dua tahun lalu berlaku menyusuli ramai pekerja asing yang 'terkandas' di Singapura akibat sempadan yang ditutup.



Ini termasuk juga harga sewa kondominium, meskipun tidak begitu mendadak berbanding flat HDB.



"Kini sebuah unit kondominium tiga bilik boleh mencecah $2,800 sebulan sementara flat HDB lima bilik pula harga sewanya antara $2,800 dengan $3,000.



"Diberi pilihan, saya akan sewa seunit kondominium. Lagipun tiada tekanan untuk mendapatkan sebuah unit," ujarnya.



Malah ada juga yang mampu bayar kadar sewa yang lebih tinggi memandangkan mereka mendapat tajaan sepenuhnya daripada majikan, atau kos sewanya dikongsi sama pekerja dengan majikan.



Ini dinyatakan Pengarah Kanan Pemasaran di ERA Singapore, Encik Zulkifle Othman @ Zul Keith Lee.



"Semua jenis bilik atau unit naik harga sewanya.



"Lagipun ada sesetengah majikan sanggup bayarkan sepenuhnya atau kongsi kos dengan pekerja bagi unit yang disewa.



"Maka tidak hairanlah ada pemilik yang ambil kesempatan untuk naikkan harga sewa," katanya.



Meskipun begitu Cik Raina pula berasakan kenaikan harga sewa flat hanya akan bertahan untuk tempoh beberapa bulan lagi sahaja memandangkan sempadan sudah mula dibuka dan ramai pekerja Malaysia di sini dijangka kembali ke Johor untuk menyewa tempat tinggal di sana dengan harga yang jauh lebih rendah.



Ini selepas kontrak sewa flat mereka di sini tamat.



Pandangan serupa dikongsi Encik Zulkifle yang berasakan hanya mereka yang sudah biasa dan selesa tinggal di Singapura akan terus kekal menyewa unit di sini.



Harga sewa flat tiga bilik pada masa kini adalah antara $1,800 dengan $2,000; sedang harga sewa flat empat dan lima bilik kini adalah antara $2,000 dengan $3,200.



Ini berbanding $1,500 bagi flat tiga bilik; $1,800 (empat bilik); dan $2,400 (lima bilik) semasa 2018/2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >