Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Golongan muda terlalu memilih kerja?

Sep 09, 2020 | 05:30 AM



APAKAH salah bagi generasi muda berasa mereka berhak mendapatkan pekerjaan setaraf dengan jangkaan mereka?



Atau apakah mereka sepatutnya menerima sebarang pekerjaan dan tidak bersikap 'memilih' memandangkan negara sedang berhadapan kemelesetan ekonomi?



Itu antara beberapa persoalan yang timbul ekoran satu pos yang tular di Facebook baru-baru ini oleh seorang majikan bernama Delane Lim, yang menyuarakan ketidakpuasannya terhadap sikap pemohon kerja di syarikatnya.



Pemilik perniagaan syarikat kecil dan sederhana (SME) itu tampak kecewa mengenai respons 12 lulusan tempatan yang ditemu duga dalam tempoh seminggu, dengan menyatakan bahawa "tiada seorang pun daripada mereka dahagakan pekerjaan".



Dalam catatan agak panjang itu, Encik Lim menceritakan pengalaman beliau bersama tujuh calon muda yang memohon pekerjaan di syarikatnya.



Jawatan itu menawarkan gaji $3,600 sebulan dan cuti tahunan 14 hari.



Calon pekerja, menurut pos Encik Lim, cerewet dan berasa mereka berhak.



Seorang daripada mereka meminta disediakan seorang penolong peribadi, seorang lagi mahu cuti tahunan lebih banyak, sementara seorang lagi meminta elaun pengangkutan kerana pejabat syarikat itu "terlalu jauh" dari rumahnya.



Pos tersebut dikongsi lebih 7,700 kali di media sosial dan menarik pelbagai komen berbeza, termasuk yang mengatakan generasi muda masa kini berasa berhak atau terlalu meminta meskipun belum menjamin pekerjaan.



Menurut pakar dan belia yang dihubungi Berita Harian, sikap rasa "berhak" ini mungkin disebabkan, antara lain, perbezaan budaya dahulu dan sekarang, keinginan merasa kepuasan dalam kerjaya, dan hakikat anak muda sekarang lebih berpendidikan.



Bagaimanapun, anak muda zaman sekarang masih tetap bersikap terbuka dalam mencari pekerjaan memandangkan ekonomi sedang bergelut dengan pandemik koronavirus Covid-19.



Seorang penjawat awam, 25 tahun, yang tidak mahu namanya disiar, mempunyai pandangan bercampur baur mengenai generasi muda berasa berhak ketika mencari pekerjaan.



Lulusan daripada SIM Global itu, yang menyertai tenaga kerja tahun lalu, berkata sesetengah generasi muda sebenarnya tidak peduli untuk mengambil tahu tentang kadar pasaran gaji semasa.



Namun, mereka fikir mereka layak mendapat gaji lebih tinggi dan menetapkan syarat pekerjaan yang bermanfaat bagi diri mereka.



"Tapi, ada kalanya majikan fikir kami bersikap 'berhak' padahal kami sejujurnya mahu berunding. Majikan tidak seharusnya buat andaian terburu-buru. Majikan harus tahu bahawa sesetengah pemohon mencari kerja untuk mempertingkat diri mereka - dapat gaji lebih tinggi atau manfaat kerja lebih baik - bukan untuk menyara hidup saja," ujarnya.



Mengenai rasa 'berhak', Cik Tasha Abdul Mutalib, yang bertugas dalam bidang sumber manusia sejak 2008, berkata daripada pengalamannya, adalah penting belia yang mencari pekerjaan berasa puas hati menerusi jenis kerja yang dilakukan, visi atau pasukan yang mereka sedang sumbang, atau kepuasan pengguna mengenai hasil kerja mereka.



"Perubahan budaya yang kita sedang alami mungkin hasil taraf pendidikan lebih tinggi setiap generasi baru dan penduduk menua - belia bercita-cita tinggi dan pada masa sama prihatin dan mahu memanfaatkan kemahiran lebih tinggi, seperti pemikiran kritikal, penyelidikan dan pembangunan serta perhubungan dan media digital, untuk membantu mereka yang paling memerlukan," katanya, yang berpengalaman tujuh tahun dalam latihan dan pemudahan (facilitation).



Walaupun mengakui generasi muda mempunyai sikap berasa 'berhak' apabila memburu pekerjaan, lulusan diploma sains farmaseutikal Iqmal Khairulaqmar Kamarudin, 23 tahun, berkata ia adalah kerana "mereka rasa mereka perlu diberi ganjaran setelah bertahun-tahun belajar".



"Mereka rasa gaji mereka patut mencerminkan sijil yang mereka raih selama bertahun ini," ujarnya.



Pada masa sama, beliau akur pandemik ini bukanlah masanya untuk bersikap memilih.



Malah, beliau dibayar gaji lebih rendah daripada jangkaannya, apabila memulakan tugas sebagai teknisyen makmal tiga minggu lalu di bawah program SkillsFuture Earn and Learn.



"Saya rasa gaji saya yang lebih rendah daripada $2,000 sebulan, akibat Covid-19, tidak setaraf dengan kelulusan saya, tapi saya tidak cerewet sebab ekonomi kini dalam keadaan teruk dengan perniagaan menjadi muflis dan orang ramai hilang pekerjaan kerana permintaan gaji tinggi," ujarnya.



Ada remaja memilih tidak melangkah masuk ke alam pekerjaan buat masa ini, dan melanjutkan pelajaran.



Cik Shaphyna Nacqiar Kader, 25 tahun, yang boleh menamatkan pengajian ijazah sarjana muda jurusan kimia tahun ini, memilih melanjutkan pelajarannya ke peringkat kepujian.



"Dengan keadaan Covid-19, saya rasa lebih stabil melanjutkan pelajaran berbanding mencari pekerjaan dalam tempoh sukar ini," ujar mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.



Bagaimanapun, beliau akur anak muda perlu merendahkan jangkaan mereka dalam mencari pekerjaan dan tidak terlalu memilih, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan wang secepat mungkin.



Penganalisis kajian kanan di Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), Cik Nabilah Mohammad, tidak fikir belia berasa 'berhak' apabila mencari pekerjaan.



"Belia hari ini sedar bahawa mendapat pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan mereka bersedia menerima pekerjaan sementara, berkontrak mahu pun pekerjaan bebas," katanya.



Dalam satu tinjauan persepsi belia yang dijalankan Rima baru-baru ini, belia yang mempunyai kelayakan Higher Nitec atau lebih rendah mengatakan mereka membuat kelonggaran apabila menerima sesuatu pekerjaan, seperti menerima gaji lebih rendah daripada apa yang mereka jangka.



Cik Nabilah menambah bahawa golongan ini juga "lebih rela bekerja walaupun keadaan pekerjaan kurang memuaskan, daripada menganggur kerana mereka percaya bahawa ketekunan, pengalaman dan semangat mereka akan mendatangkan manfaat pada masa depan".




"Perubahan budaya yang kita sedang alami mungkin hasil taraf pendidikan lebih tinggi setiap generasi baru dan penduduk menua - belia bercita-cita tinggi dan pada masa sama prihatin dan mahu memanfaatkan kemahiran lebih tinggi, seperti pemikiran kritikal, penyelidikan dan pembangunan serta perhubungan dan media digital, untuk membantu mereka yang paling memerlukan."
- Cik Tasha Abdul Mutalib, berpengalaman sekitar 12 tahun dalam bidang sumber manusia.



"Belia hari ini sedar bahawa mendapat pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan mereka bersedia menerima pekerjaan sementara, berkontrak mahu pun pekerjaan bebas... mereka lebih rela bekerja walaupun keadaan pekerjaan kurang memuaskan, daripada menganggur kerana mereka percaya bahawa ketekunan, pengalaman dan semangat mereka akan mendatangkan manfaat pada masa depan."
- Cik Nabilah Mohammad, penganalisis kajian kanan Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >