Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-Z

Guna Terapi Seni bantu pulih minda dan jiwa

Pengalaman berdepan murid autistik, hiperaktif jadi dorongan bagi bekas pelajar madrasah - berbekal ilmu psikologi dan terapi seni - bantu perkasa golongan ini
Oct 02, 2021 | 05:30 AM



KETIKA mula mengajar di madrasah mingguan aLIVE di Masjid Darussalam lebih lima tahun lalu, Cik Amirah Munawwarah Idilfitri berdepan dengan pelajar autistik yang meragam dan payah memberi tumpuan di bilik darjah.



Ada juga pelajar hiperaktif yang mengganggu kelancaran kelas, mendesak perhatian, menguji kesabaran dan membuatnya buntu.



Pengalaman saban tahun menangani pelajar dengan masalah pembelajaran itu membuatkan Cik Amirah, kini 27 tahun, ingin memburu ilmu psikologi yang dapat membantunya memahami kondisi pelajar lantas memperkasa mereka.



Bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Malaysia dengan mengambil ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Kepujian) dalam Psikologi.



Beliau juga mengambil mata pelajaran sampingan, Quran dan Sunnah, dalam tempoh pengajian empat tahun yang banyak membuka matanya tentang kehidupan berdikari.



Setelah tamat pengajian dan meluangkan masa dengan kerja sukarela bersama Persatuan Menunggang Kuda Untuk Golongan Kurang Upaya (RDA), timbul pula keinginan baginya menambah kemahiran baru dalam bidang terapi seni di Maktab Seni Lasalle, tiga tahun lalu.



Kini, berbekalkan segulung ijazah Sarjana Sastera dalam Terapi Seni, anak sulung tiga beradik perempuan itu ingin mendekati lebih ramai golongan yang memerlukan pemulihan minda dan jiwa melalui kerja atau kegiatan seni.



Selain bersama pasukan khidmat psikologi ImPossible Psychological Services yang diasaskan pakar psikologi klinikal kanan, Encik Muhammad Haikal Jamil, Cik Amirah juga menawarkan khidmat terapi seni secara peribadi.



Ketika dihubungi Berita Harian melalui Zoom, penerima Biasiswa Anugerah Belia Cemerlang Mendaki 2019 ini berkata:



"Setiap pengalaman menangani golongan istimewa, baik di madrasah mingguan aLIVE ataupun di RDA membuatkan saya teruja ingin membantu mereka keluar dari kepompong keterbatasan berbekalkan ilmu psikologi dan terapi seni.



"Di RDA, bukan sahaja kegiatan menunggang kuda diadakan tetapi aktiviti lain juga yang mengandingkan saya dengan kanak-kanak atau remaja berbeza dalam sesi 45 minit. Saya perlu peka dengan gejolak emosi dan amati kemahiran sosial mereka."



Terapi seni, kaedah pemulihan dan penawar baru di Singapura, menjadi pilihan Cik Amirah kerana beliau suka melukis sebagai hobi.



"Apabila teman lain mula mencari kerja dan ingin ceburi bidang psikologi pendidikan atau psikologi organisasi, saya menggali dalam diri saya apa yang saya gemari.



"Saya cenderung melukis dan menghasilkan kraftangan tanpa ada pendidikan formal. Mungkin ini peluang keemasan melanjutkan minat saya dalam lukisan dan gabungkannya dengan ilmu psikologi.



"Seni terapi memerlukan asas psikologi bagi kita menyelongkar apa yang bermain di fikiran dan jiwa individu yang kita tangani.



"Ia bukan kursus di mana estetika dan kecantikan kerja seni itu menjadi keutamaan. Anda tak perlu melukis dengan baik atau menghasilkan sesuatu yang cantik bagi melalui sesi terapi seni. Sebaliknya, terapi ini memerlukan anda meluah segalanya menerusi kerja seni," tambahnya lagi.



Sepanjang pengajian sepenuh masa selama dua tahun di Lasalle, Cik Amirah berpeluang menjalani program bekerja sambil belajar di hospital dan sekolah menengah.



Beliau mengendalikan studio seni terbuka buat kakitangan hospital hadiri bagi meleraikan tekanan menerusi seni.



Dari sesi tersebut, boleh dikenal pasti apa yang kakitangan itu perlukan, baik sesi pengurusan tekanan atau pengurusan amarah.



Di sekolah menengah pula, beliau menangani pelajar yang dirujukkan kaunselor dan membantu mereka mencari pengertian dan matlamat hidup.



"Pengalaman bersama belia ini juga membantu saya membereskan tesis saya mengenai identiti spiritual golongan remaja.



"Kalau kita sebut tentang matlamat dan erti kehidupan, bukan golongan berusia sahaja yang perlu memikirkannya. Belia juga boleh dibantu menerusi terapi seni dalam mencari jawapan tentang erti serta arah tuju hidup mereka," katanya lagi.



Buat masa ini, beliau berminat meneroka terapi seni bersama belia dengan usulan mengadakan satu pameran seni bersama mereka.



Keprihatinan terhadap kesihatan mental masyarakat Melayu/Islam yang perlu dibantu termasuk dalam sektor madrasah dan kebajikan warga emas juga dekat di hatinya.



"Saya akui kos khidmat terapi kesihatan mental agak tinggi. Tak semua orang mampu. Khidmat sebegini perlu diperkenalkan di masjid.



"Dengan pandemik Covid-19 ini, kita lihat kesihatan mental menjadi aspek penting dengan kanak-kanak mahupun warga emas turut terjejas dari segi kesejahteraan mental. Mereka perlu dibantu melalui kaedah terapi seni yang menenangkan dan memulihkan segala keresahan.



"Apabila nenek saya sendiri mula lupa-lupa dek faktor usia, saya mula memikirkan cara bagaimana terapi seni dapat membantu golongan sepertinya meneroka emosi, mengembalikan keyakinan diri, mengurangkan keresahan dan menghurai konflik psikologi yang dihadapi," katanya yang turut menerapkan elemen seni dalam kelas aLIVE yang dikendalikan.



Cik Amirah juga bersyukur di atas sokongan yang diberi bapanya, Encik Idilfitri Mohammed Yatim, 54 tahun, seorang pengurus latihan dan konsultan eksekutif kesihatan dan keselamatan serta ibunya, Cik Norkhalilah Khalil, 53 tahun, seorang suri rumah.



Beliau juga gembira lulusan madrasah kian meneroka cabang kerjaya berbeza di luar bidang pendidikan ukhrawi.



"Kalau ada yang beranggapan lulusan madrasah, UIA atau Universiti Al-Azhar akhirnya pasti jadi ustaz atau ustazah, keadaannya berbeza kini sebab ada pelbagai sektor lain memerlukan sumbangan dan perwakilan lulusan madrasah. Yang penting amanah dijaga dengan baik," jelasnya.




"Dengan pandemik Covid-19 ini, kita lihat kesihatan mental menjadi aspek penting dengan kanak-kanak mahupun warga emas turut terjejas dari segi kesejahteraan mental. Mereka perlu dibantu melalui kaedah terapi seni yang menenangkan dan memulihkan segala keresahan. Apabila nenek saya sendiri mula lupa-lupa dek faktor usia, saya mula memikirkan cara bagaimana terapi seni dapat membantu golongan sepertinya meneroka emosi, mengembalikan keyakinan diri, mengurangkan keresahan dan menghurai konflik psikologi yang dihadapi."
- Cik Amirah Munawwarah Idilfitri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >