Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HIKMAH SYAWAL

Hidupkan semangat Ramadan dalam Syawal dan bulan-bulan mendatang

Jun 13, 2019 | 05:30 AM



RAMADAN telah berlalu pergi meninggalkan kita. Kini Syawal pula tiba menandakan kejayaan bagi mereka yang mendambakan keampunan dan kemuliaan di sisi Allah swt.



Sudah pasti, Ramadan meninggalkan seribu kenangan indah bagi pencinta bulan mulia ini.



Ramadan yang baru sahaja berlalu pasti memberi kesan terhadap setiap daripada kita. Maka, bagaimanakah kita memastikan kesan yang kita rasai dapat dikongsi bersama orang sekeliling kita?



Sebagai seorang Mukmin, antara matlamat kita diutus sebagai khalifah di muka bumi ini adalah untuk memakmurkannya.



Lantas, kemakmuran akan tercapai dengan kita berkongsi kenikmatan dan kebaikan yang kita miliki dengan mereka yang berada di sekeliling kita.



Madrasah Ramadan telah mendidik kita untuk meneruskan amalan-amalan baik diteruskan melampaui bulan yang mulia itu.



Sebagai individu, kita wajib memastikan tali perhubungan kita dengan Allah swt kekal kukuh, manakala tali perhubungan kita sesama manusia pula tetap teguh.



Maka seharusnya kita menzahirkan nilai-nilai rahmah yang indah dan terpuji itu ketika kita menyambut Syawal sekarang ini.



Misalnya kita memperkukuhkan hubungan serta keakraban keluarga kita pada bulan Ramadan - kita berbuka bersama, membantu dalam menyiapkan hidangan bersama, solat berjemaah dan tarawih bersama.



Semua perkara ini seharusnya wajar diteruskan walaupun setelah berlalunya bulan yang mulia itu.



AMALAN BERKUNJUNG



Dari itu, ketika Syawal ini apabila kita kunjung-mengunjungi keluarga kita, seharusnya kita turut menzahirkan juga sifat rahmah kita terhadap mereka.



Datang bukan sekadar berziarah, akan tetapi haruslah kita melampaui nilai berziarah itu dengan perkara-perkara yang mampu memberi kesan kepada mereka,



Sebagai contoh, kita mengambil kesempatan semasa berziarah itu untuk bertanya khabar, mengeratkan silaturahim dan memohon maaf antara sama lain.



"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." - Al-Hujurat:10.



Daripada 'Abdullah bin 'Umar ra menceritakan bahawa Rasulullah saw bersabda:



"Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah swt akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah swt akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah swt akan menutup aibnya pada hari kiamat."



Hadis ini jelas menerangkan akan perihal mengambil tahu keadaan orang lain lantas kita bertindak mengambil langkah untuk bertindak membantu menggurangkan kesusahan orang lain.



Jangan pula apabila kita berziarah, perkara pertama yang kita harapkan ialah jamuan yang disediakan, lebih-lebih lagi jika di rumah tersebut terdapat warga tua atau yang sakit. Fahami kesusahan dan kepayahan tuan rumah yang mungkin uzur atau yang menjaga warga tua dan sakit.



Berusahalah ambil tahu perihal, khabar, keadaan orang yang kita ziarahi, jangan hanya sekadar bak pepatah Melayu mengatakan seperti "meminta api".



Kesantunan ketika menziarahi orang-orang tua dalam keluarga kita seperti ibu bapa, pak cik dan mak cik, datuk dan nenek, harus dititik-beratkan dan diperhatikan oleh kita semua sewaktu kita berkunjung.



Antara perkara yang wajar kita laksanakan, kita ambil tahu akan kesusahan dan keperluan mereka dan disusuli dengan bantuan yang kita hulurkan bukan sekadar touch and go atau setahun sekali seperti melepaskan batuk di tangga.



Namun, ia harus berterusan berdasarkan kemampuan kita sehingga mampu melepaskan mereka daripada belenggu tersebut.



"Berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau". - Al-Isra':26.



Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: Sesungguhnya tali persaudaraan dipetik daripada kalimah rahmah (kasih sayang). Allah swt berfirman: "Barang siapa yang mengeratkannya maka Allah akan memperkukuhkannya lagi, dan barang siapa yang memutuskannya, maka Allah swt akan menghapuskannya".



Bagi anak-anak pula, jangan dibiasakan dengan harapan mendapat duit Raya - kita seharusnya mendidik anak-anak bahawa budaya kunjung-mengunjung ialah untuk bertemu dan saling mengenali.



Anggaplah duit Raya sebagai bonus dan apabila diberi, ajari mereka untuk berterima kasih dan tidak membuka sampul duit di hadapan tuan rumah.



SIFAT MEMBANTU



Seringkali kita apabila kita diminta bantuan kita merasa jengkil dan terkadang kita rasa disusahkan oleh individu sedemikian.



Kita cuba memberikan alasan dan menjauhkan diri daripada mereka dan tidak mengunjungi mereka.



Dalam kita melakukan ziarah, kita harus sedaya upaya untuk tidak memberatkan mereka yang dikunjungi. Tidak wajar apabila kita bertandang ke rumah orang dan menuntut layanan istimewa seakan-akan kita berada di hotel lima bintang.



Jangan pula kita membiarkan anak-anak kita membuat sesuka hati dan mendatangkan kerunsingan kepada tuan rumah dengan menyelerakkan alat perkakas rumah atau permainan anak-anak mereka.



SIFAT RAHMAH



Ramadan mengajar kita untuk sentiasa berlaku baik kepada orang lain. Sebagai Mukmin, kita sentiasa dituntut dengan nilai-nilai rahmah yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian, sama ada sesama anggota keluarga atau masyarakat amnya.



Bahkan dalam masyarakat kita yang berbilang agama dan bangsa, sifat rahmah ini memainkan peranan yang besar dalam memastikan kehidupan yang harmoni di Singapura.



Seharusnya, kita lanjutkan sifat-sifat rahmah itu dalam Syawal ini dan bulan-bulan mendatang. Apabila kita ke rumah sanak-saudara yang mungkin kelihatan berlainan dari tahun sudah kerana berdepan dengan cabaran hidup, jangan kita membebankannya dengan soalan-soalan yang sensitif.



Kita juga perlu hormati keputusan tuan rumah yang tidak mahu menerima tetamu selepas masa-masa tertentu - janganlah kerana dikatakan 'semangat Raya' kita boleh menziarahi hingga ke larut malam.



Hulurkan sifat iIhsan dan rahmah. Insya-Allah, Allah akan menaungi kita dengan rahmah-Nya.



"Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami." - Al-A'raf:156.



Kepekaan kita terhadap mereka yang berada di sekeliling kita merupakan separuh daripada tuntutan agama, kerana ia terkait rapat dengan sifat ihsan yang merupakan pelengkap kepada agama seperti yang disebut oleh Nabi saw di dalam hadis.



Semoga Ramadan dan Syawal kali ini menjadikan titik perubahan dalam kehidupan kita serta memberikan kesan yang baik kepada sejenak mereka yang dekat dengan kita.




BIODATA USTAZ HAMREY MOHAMAD



Ustaz Hamrey Mohamad ialah Pakar Aset Kanan (Perkhidmatan Hartanah) Warees Investment Pte Ltd.



Beliau berkelulusan Universiti Al-Azhar dalam jurusan syariah. Beliau juga memegang ijazah ukhrawi, ijazah sarjana Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIFP) dari Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (Inceif) yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).



Inceif, yang disokong Bank Negara, adalah satu-satunya universiti di dunia yang mengajar ilmu kewangan Islam.



Dalam masa yang sama, bekas pelajar Madrasah Aljunied ini juga memiliki diploma dalam pengurusan kewangan dari Kaplan - Institut Pengurusan Asia-Pasifik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >