BULAN Bahasa menggalakkan masyarakat menerima pelbagai bentuk luahan bahasa Melayu, selain terus melibatkan orang ramai dengan tahap kemahiran bahasa berbeza, kata pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam.
Bahkan, golongan literati Melayu juga semakin terbuka terhadap pelbagai jenis tafsiran bahasa, katanya.
"Jika sebelum ini Bulan Bahasa melibatkan kumpulan terbatas, ia diluaskan kepada pelbagai kumpulan pengguna bahasa Melayu dengan pelbagai tahap kemahiran.
"Bulan Bahasa juga kian menerima pelbagai tafsiran dan penggunaan bahasa," kata Cik Rahayu, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong.
Beliau memberi contoh cogan kata Bulan Bahasa yang meraikan bahasa Melayu sebagai 'Bahasa Ilmu, Bahasa Budaya dan Bahasa Mesra'.
"Hakikatnya, orang ramai mempunyai minat dan tafsiran berbeza mengenai bahasa. Apa yang penting adalah bahasa itu harus kekal relevan.
"Antara cabarannya adalah untuk menghormati cara lama tetapi mengalualukan yang baru," ujarnya.
Cik Rahayu memberi satu lagi contoh seorang Duta Bahasa yang menggunakan pantun dengan nada bergurau dan bahasa yang bercampur-campur.
"Kami bertanya bagaimanakah ini akan diterima oleh literati Melayu. Adakah ia salah?
"Apabila kami melakukan sesuatu yang mempunyai kontroversi atau berlainan, bagaimanakah masyarakat akan menerimanya?
"Sejauh ini, kami dapat mengatasi isu seperti ini kerana masa telah berubah dan orang ramai sedar kami harus mengambil pandangan moden tentangnya," ujar Cik Rahayu.
Beliau turut mengalu-alukan usaha Duta Bahasa seperti deejay Dzar Ismail yang menukar lagu popular Sepanyol Despacito kepada lagu Melayu.
"Ia satu kaedah berbeza mengenai cara bahasa Melayu digunakan. Hakikatnya, ramai anak muda yang menggemari lagu itu.
"Jika ia dapat menarik minat anak muda terhadap bahasa, ia menjadi satu langkah yang berkesan," ujarnya.
KERENCAMAN DUTA BAHASA
Dari tahun ke tahun, semakin ramai individu dilantik menjadi Duta Bahasa. Mereka dilantik Majlis Bahasa Melayu Singapura sebagai individu teladan yang menghidupkan dan memperjuangkan bahasa Melayu.
Mereka merangkumi tokoh daripada pelbagai bidang. Antara mereka ialah:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg