Topik diikuti
Pergi ke BHkuIjazah 'penawar' barah usus tahap 3
Ijazah 'penawar' barah usus tahap 3
Ijazah 'penawar' barah usus tahap 3
MEMBURU ilmu ibarat penawar yang mendesak Cik Rohani As'ad untuk tumpukan mindanya pada usaha mempertingkat diri di sebalik kelelahan yang pernah dihadapi selaku pesakit barah usus tahap ketiga.
Sejak dikesan menghidap penyakit kronik itu pada 2014 sewaktu beliau baru sahaja mengambil kursus diploma perniagaan di Politeknik Singapura (SP), Cik Rohani diuji dengan bermacam kesan sampingan rawatan yang dijalaninya.
Beliau mudah penat, sukar bernafas, sering lupa dan turut dilanda serangan panik yang membuatnya serba keresahan. Keadaan ini berlarutan ketika beliau mengambil keputusan menyambung pengajiannya ke universiti secara sambilan.
Namun, berkat kesabaran dan kecekalannya, suri rumah yang kini berusia 50 tahun baru-baru ini menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Ia merupakan detik yang membanggakan buat Cik Rohani yang juga disahkan bebas daripada penyakit barah usus ini dua tahun lalu.
Keyakinan dirinya bahawa badai hidup yang dilalui boleh diatasi adalah setelah melihat suaminya, Encik Muhamed Sharif Muhamed, 48 tahun, seorang penyelia bangunan kondominium, juga mampu melawan penyakit leukemia.
