Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:32
Maghrib
7:20
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Individu tidak divaksin dan pulih Covid-19 lebih berisiko alami komplikasi jantung: Kajian

Kajian diterajui NTU gariskan ‘perlunya orang ramai dapatkan vaksin sebagai perlindungan penting’
Oct 09, 2023 | 07:04 PM



Orang tidak mengambil vaksin Covid-19 yang dijangkiti virus itu dan pulih lebih berisiko mengalami komplikasi jantung setahun kemudian, menurut satu dapatan kajian seluruh Singapura, menurut The Straits Times.


Mereka dalam kumpulan ini berisiko 56 peratus lebih tinggi menghidap komplikasi jantung, seperti kegagalan jantung, strok dan darah beku (kardiovaskular, serebrovaskular dan trombosis), setahun selepas menghidap Covid-19, berbanding individu tidak dijangkiti virus itu.

Berdasarkan ujian dan rekod tuntutan perubatan 106,012 penduduk Singapura yang didiagnos menghidap Covid-19, kajian itu mendapati 912 pesakit yang pulih mengalami kesan penyakit berpanjangan seperti keletihan, sesak nafas, masalah daya ingatan dan komplikasi jantung.

Kajian itu mendapati 311 orang tidak divaksinasi dan tidak mengalami degupan jantung tidak normal sebelum jangkitan Covid-19 mengalami masalah kesihatan itu setahun selepas jangkitan.

Dalam kajian itu, kumpulan positif Covid-19 melibatkan lebih 100,000 penduduk dibandingkan dengan hampir 1.7 juta penduduk dalam masyarakat yang tidak diketahui dijangkiti virus itu pada masa tersebut.

Kedua-dua kumpulan itu diawasi selama purata 300 hari, dengan melihat sama ada mereka khususnya menghidap sindrom Covid berpanjangan dan komplikasi jantung.

Kajian itu dijalankan oleh Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Kementerian Kesihatan (MOH), Hospital Besar Singapura (SGH) dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) antara September dengan November 2021, ketika varian Delta berleluasa.

Ia merupakan kajian pertama dan terbesar yang meneliti risiko Covid berpanjangan dalam populasi berbilang etnik Asia Tenggara yang mencapai kadar vaksinasi tinggi.

Kajian itu diterbitkan pada September dalam jurnal Clinical Infectious Diseases, yang sering dirujuk berhubung penyakit berjangkit dan biologi mikro.


Kumpulan kajian itu diterajui oleh penolong profesor bagi pemodelan penyakit berjangkit di Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Penolong Profesor Lim Jue Tao.

“Walaupun kita kini berada dalam tempoh pascapandemik, dapatan kami tetap relevan kerana Covid-19 akan kekal dengan varian yang berkembang, dan kita perlu terus memahami kesannya dan melindungi diri kita.

“Kajian kami menggariskan perlunya orang ramai mendapatkan vaksin sebagai cara perlindungan yang penting,” katanya.

Namun, pasukan penyelidik itu menyatakan bahawa dapatan kajian itu mempunyai keterbatasan.

Misalnya, kumpulan tidak dijangkiti yang diawasi dalam analisis termasuk mereka yang tidak menunjukkan gejala atau tidak mendapatkan rawatan perubatan, dan ini mungkin menyebabkan kesilapan klasifikasi.

Selain itu, ukuran kesihatan individu seperti tekanan darah dan indeks jisim badan, yang dikaitkan dengan risiko komplikasi jantung, tidak dipertimbangkan.

Pasukan itu akan melihat kerengsaan, masalah daya ingatan dan perubahan emosi, serta komplikasi pernafasan dan kesan Covid yang berpanjangan terhadap penggunaan penjagaan kesihatan, dalam penyelidikan masa depannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >