PENJAGA pesakit demensia kini boleh mendapatkan lebih banyak sokongan masyarakat menerusi satu inisiatif hasil kerjasama antara Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) dengan Dementia Singapore.
Inisiatif menjaga dan memulangkan pesakit demensia yang hilang kepada penjaga mereka itu telah dilancarkan pada Isnin.
Di bawah inisiatif itu, apabila satu laporan bersama gambar dan butir-butir pesakit yang hilang dihantar ke aplikasi Cara oleh Dementia Singapore, ia akan menghantar notifikasi kepada semua pengguna aplikasi berkenaan, lapor The Straits Times.
Maklumat yang sama itu juga akan dihantar melalui notifikasi kepada pengguna aplikasi OneService yang tinggal berdekatan lokasi terakhir di mana pesakit itu hilang.
Pengguna juga akan diberitahu bila orang yang hilang itu ditemui.
Aplikasi OneService daripada MSO, yang mempunyai 500,000 pengguna, kini digunakan bagi isu kejiranan seperti memberi maklum balas tentang kebersihan, kemudahan dan haiwan perosak.
Kerjasama itu akan menyaksikan ciri-ciri 'Selamat Pulang' dan 'Laporkan Orang Hilang' dalam aplikasi OneService seperti yang boleh ditemui di aplikasi Cara.
Sejak ciri tersebut dimulakan secara tidak rasmi pada November 2022, ia telah membantu memudahkan pemulangan tujuh pesakit yang hilang dengan selamat.
Satu kajian kesejahteraan warga emas Singapura yang dijalankan Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2013 mendapati satu dalam 10 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas menghidapi demensia.
Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, yang menghadiri pelancaran kerjasama itu di Pusat New Horizon Dementia Singapore di Bukit Batok, berkata:
"Keluarga mengalami banyak keresahan apabila orang tersayang yang menghidapi demensia hilang.
"Dengan mendekati khalayak yang lebih luas dan menggalakkan penduduk untuk saling membantu satu sama lain, saya yakin kita boleh memupuk Singapura yang lebih mesra demensia bersama-sama."
Encik Jason Foo, Ketua Eksekutif Dementia Singapore, berkata visi mereka adalah sentiasa untuk mewujudkan masyarakat inklusif.
"Melalui aplikasi Cara, kita melihat rakan-rakan kita yang hidup dengan demensia dan penjaga mereka menjadi lebih kuat, terlibat dan disokong dalam perjalanan mereka hidup dengan atau menjaga seseorang yang mempunyai demensia," kata beliau.
Encik Foo menambah bahawa terdapat fenomena semakin meningkat kehilangan warga emas yang kebanyakannya menghidapi demensia di Singapura sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata perkongsian itu akan membantu secara berkesan dalam menangani kebimbangan yang semakin meningkat bagi keluarga mereka yang menghidapi demensia dan sekali gus memperluaskan notifikasi bagi pemberitahuan orang hilang.
"Dengan menjangkaui penduduk yang lebih besar, kebarangkalian untuk menemui seseorang yang menghidapi demensia yang hilang dengan lebih cepat adalah lebih tinggi."
"Keluarga mengalami banyak keresahan apabila orang tersayang yang menghidapi demensia hilang. Dengan mendekati khalayak yang lebih luas dan menggalakkan penduduk untuk saling membantu satu sama lain, saya yakin kita boleh memupuk Singapura yang lebih mesra demensia bersama-sama." - Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann.
"Melalui aplikasi Cara, kita melihat rakan-rakan kita yang hidup dengan demensia dan penjaga mereka menjadi lebih kuat, terlibat dan disokong dalam perjalanan mereka hidup dengan atau menjaga seseorang yang mempunyai demensia. Dengan menjangkaui penduduk yang lebih besar, kebarangkalian untuk menemui seseorang yang menghidapi demensia yang hilang dengan lebih cepat adalah lebih tinggi." - Encik Jason Foo, Ketua Eksekutif Dementia Singapore.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg