Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Isu kerja, diskriminasi antara topik dalam dialog pasca-Rapat Hari Kebangsaan Melayu/Islam

Sep 10, 2021 | 05:30 AM



KEPRIHATINAN tentang pekerjaan dan undang-undang bagi mencegah diskriminasi dalam pekerjaan antara isu dalam dialog masyarakat Melayu/Islam pasca-Rapat Hari Kebangsaan (NDR) M Kuasa Tiga (M3) malam kelmarin.



Antara lain peserta ingin tahu keberkesanan Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) dalam membendung diskriminasi pekerja dan cara ia akan dilaksana selepas ditetapkan dalam undang-undang negara.



Isu lain yang dibincangkan termasuk cara pemerintah dan masyarakat dapat membantu dalam mempertingkat taraf hidup pasangan muda yang tinggal di rumah sewa serta isu perkauman dan keizinan bagi jururawat Muslim memakai tudung ketika bertugas jika mereka mahu.



Sesi anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) itu dipimpin panelis Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang Mariam Jaafar, dan AP Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat.



Hampir 200 peserta menyertai dialog itu, yang dijalankan dalam talian dan secara fizikal di auditorium ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di Kings George Avenue.



Beberapa peserta menimbulkan isu syarikat memberi keutamaan kepada calon boleh berbahasa Mandarin dalam menggajikan pekerja, diskriminasi terhadap pekerja lanjut usia, dan pembentukan kumpulan pekerja Singapura utama, terutama bagi pekerjaan berpendapatan rendah yang sebelum ini dijawat pekerja migran.



Mengulas tentang isu itu, Cik Mariam berkata pemerintah dan majikan, terutamanya syarikat berbilang negara (MNC), sejak kebelakangan ini berusaha mengutamakan pekerja Singapura.



"Sekarang kita sudah berada di tahap titik perubahan, atau tipping point, dan mereka lebih giat menggajikan dan melatih warga Singapura dan itu adalah satu tanda yang baik dari pihak MNC bahawa kita serius dalam menggajikan warga Singapura," kata Cik Mariam.



Mengulas kenyataan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa NDR mengenai menetapkan undang-undang bagi Tafep agar membendung diskriminasi di tempat kerja, Encik Saktiandi berkata peserta ingin tahu cara Tafep dan garis panduannya boleh dipertingkat dan apakah undang-undang antidiskriminasi yang akan diperkenal memberi kesan lebih baik kepada Singapura secara amnya.



"Dengan garis panduan ini, ia memberi satu isyarat kepada syarikat-syarikat bahawa kami akan mengambil langkah yang tegas (terhadap diskriminasi)," kata Encik Saktiandi.



"Namun kami tidak ingin membuat tindakan penguatkuasaan dari segi undang-undang terlebih dahulu, sebaliknya beri peluang kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) yang akan mengadakan perantaraan terlebih dahulu."



Beliau berkata adalah penting pekerja mengambil tahu garis panduan itu dan cara mereka boleh membuat aduan menerusi talian dan laman Tafep.



Selain itu, sebahagian peserta bertanya apakah dalam menangani isu perkauman, pemerintah dapat melakar langkah yang dapat memupuk persefahaman dalam masyarakat berbilang kaum, lebih-lebih lagi dengan adanya rancangan menggubal undang-undang menjaga keharmonian kaum di sini.



Dr Faishal berkata akta itu akan berfungsi "sebagai satu wadah untuk memberi keseimbangan dari segi pemulihan dan penghukuman bagi memperkukuhkan lagi keharmonian kaum di Singapura dan melihat bagaimana masyarakat juga boleh mainkan peranan".



Selain cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, Dr Maliki mengetengahkan soal peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran yang boleh direbut sedang ekonomi negara menjalani transformasi dalam pandemik ini, serta cara meningkat taraf hidup penghuni rumah sewa.



"Kita lihat dalam laporan berita bahawa pelaburan terus masuk ke negara kita... dan beberapa bidang baru yang sedang berkembang. Jadi walaupun masyarakat kita menghadapi pelbagai cabaran, apa lagi yang kita boleh lakukan untuk memajukan masyarakat kita dengan merebut peluang sektor-sektor yang berkembang ini?



"Dari segi pendidikan, kita sedang melakukan dengan baik untuk menawarkan pelbagai laluan kejayaan.



"Namun bagi para pekerja, misalnya mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi 'gig', bagaimana kita dapat menggalak mereka merebut peluang ekonomi baru untuk membolehkan mereka maju bersama," ujar beliau.



Dr Maliki berkata peluang pekerjaan ini akan disediakan dan sedang diusahakan, dan beliau berharap masyarakat bekerjasama untuk meneliti profil masyarakat Melayu untuk merebut peluang tersebut.



Dialog itu, yang turut disokong Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), adalah yang kedua daripada siri tiga sesi yang akan diadakan dalam tempoh tiga minggu.



Sesi terakhir dijadualkan malam ini dengan anggota panelis termasuk Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; dan Mayor Daerah South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >