PERUNTUKAN Jumlah Jagaan Kesihatan Asas bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang berusia di bawah 65 tahun akan dinaikkan daripada $63,000 kepada $66,000.
Ini akan berkuat kuasa dari 1 Januari tahun depan, kata Lembaga CPF dalam satu kenyataan bersama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semalam.
Jumlah Jagaan Kesihatan Asas ialah anggaran bagi simpanan yang diperlukan untuk menampung keperluan jagaan kesihatan selepas subsidi bagi seseorang semasa usia tua.
Ia disesuaikan setiap tahun bagi pencarum CPF berusia di bawah 65 tahun, selaras dengan penggunaan MediSave yang bertambah.
Jumlah ini tidak akan diubah apabila pencarum mencapai usia 65 tahun dan akan dikekalkan bagi sepanjang hayat mereka.
Ini bermakna, Jumlah Jagaan Kesihatan Asas bagi pencarum yang mencapai usia 65 tahun pada tahun depan akan ditetapkan sebagai $66,000 dan ini tidak akan diubah.
Jumlah Jagaan Kesihatan Asas tidak akan berubah bagi pencarum yang berusia 66 tahun dan ke atas pada tahun depan.
September lalu, Lembaga CPF mengumumkan kadar faedah minimum 4 peratus bagi Akaun Khas, Akaun Medisave dan Akaun Persaraan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember pada tahun depan.
Semalam, ia berkata pada suku pertama tahun depan, pencarum CPF yang berusia 55 tahun ke bawah akan terus mendapat faedah sehingga 5 peratus bagi $60,000 pertama yang disimpan dalam akaun-akaun berasingan, dengan sehingga $20,000 boleh bersumber dari Akaun Biasa.
Pencarum ini akan mendapat kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun bagi simpanan dalam Akaun Biasa, dan sehingga 5 peratus setahun bagi simpanan dalam Akaun Khas dan Akaun Medisave.
Pencarum CPF berusia 55 tahun dan ke atas akan dibayar faedah 6 peratus setahun bagi $30,000 pertama yang digabungkan dari akaun-akaun berasingan, dengan sehingga $20,000 bersumber dari Akaun Biasa.