Subuh
5:48
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:16
Maghrib
7:13
Isyak
8:21

Jururawat beralih dari jagaan akut untuk kendali warga emas

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Jururawat beralih dari jagaan akut untuk kendali warga emas

Jul 09, 2021 | 05:30 AM

BERBEKALKAN cinta terhadap bidang kejururawatan dan keprihatinannya terhadap penduduk Singapura yang kian menua dengan pesat, Cik Zuraidah Sulaiman, 44 tahun, meninggalkan pekerjaannya di hospital penjagaan akut dan beralih ke hospital penjagaan warga emas di Hospital Masyarakat Ren Ci lebih tiga tahun lalu.

Walaupun mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejururawatan, Klinisian Jururawat Kanan (Jururawat Amalan Lanjut) itu sentiasa mencari peluang untuk meraih kemahiran baru dan mempertingkat diri.

Selain melengkapi dirinya dengan kemahiran pengurusan akhir hayat supaya dapat menjaga penghuni yang menjalani penjagaan akhir hayat dengan lebih baik, beliau baru-baru ini juga menjalani kursus Pengamal Preskripsi Kolaboratif Nasional yang membolehkan beliau memberi preskripsi ubat.

"Spektrum penjagaan kesihatan luas, sebab itulah saya berpindah untuk meraih pengalaman menjaga warga emas. Saya rasa dengan apa jua pengalaman yang saya raih, saya dapat menyumbang dalam keadaan sekarang di mana kita mempunyai penduduk yang menua," ujarnya.

Baginya, ia penting sebagai seorang jururawat untuk terus belajar dan mempertingkat diri kerana cara penjagaan baru akan sentiasa ada dan ini perlu ditimba supaya jururawat dapat menjaga pesakit dengan baik.

Cik Zuraidah merupakan antara 125 jururawat yang diiktiraf dengan Anugerah Merit Jururawat (NMA) kelmarin.

Menceritakan pengalamannya menangani pesakit yang menerima penjagaan akhir hayat, Cik Zuraidah berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap kali seorang warga emas meninggal dunia, beliau rasa sedih memandangkan sudah lama berhubung dengan mereka.

"Secara umumnya, saya ini orangnya tenang, dan saya tidak mahu menjejas keluarga (pesakit yang meninggal dunia) jika saya menangis. Terdapat waktu sukar di mana saya rasa sebak tetapi saya beritahu diri saya untuk kekal tenang supaya keluarga juga dapat teruskan hidup," ujarnya yang menyertai bidang kejururawatan sejurus sahaja menggenggam diploma dalam kejururawatan dari Politeknik Nanyang pada 1998.

Malah, dengan pengalaman luasnya berkhidmat dalam pelbagai jabatan seperti di Unit Jagaan Rapi (ICU) serta bidang penyakit berjangkit, Cik Zuraidah dapat menyumbang pengetahuannya dalam langkah pencegahan jangkitan dan memastikan jururawat cekap dalam menjalankan ujian swab bagi pesakit di Hospital Masyarakat Ren Ci apabila Covid-19 melanda.

Menceritakan mengapa beliau memilih bidang kejururawatan, ibu dua anak itu berkata beliau terdorong dengan jururawat yang menjaga neneknya suatu ketika dahulu setelah neneknya mengalami strok.

Itu juga mendorongnya untuk belajar bagaimana beliau perlu menjaga neneknya dan sejak menyertai bidang kejururawatan, Cik Zuraidah tidak pernah menyesali keputusannya.

Beliau yang ingin terus mempertingkat diri dan berharap dapat meraih kemahiran kepimpinan berkata:

"Saya tidak boleh melihat diri saya melakukan pekerjaan lain.

"Apa yang saya harapkan pada masa depan adalah untuk bekerjasama dengan jururawat dalam sektor ini dari segi menyediakan penjagaan warga emas... kerana penduduk semakin menua dengan pesat, dan sebagai jururawat dalam sektor ini, saya ingin membantu warga emas meniti usia tua dengan aman dan bermaruah."


"Saya tidak boleh melihat diri saya melakukan pekerjaan lain. Apa yang saya harapkan pada masa depan adalah untuk bekerjasama dengan jururawat dalam sektor ini dari segi menyediakan penjagaan warga emas... kerana penduduk semakin menua dengan pesat, dan sebagai jururawat dalam sektor ini, saya ingin membantu warga emas meniti usia tua dengan aman dan bermaruah."
- Cik Zuraidah Sulaiman.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3