Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar pengangguran berkurang petanda baik pasaran pekerja
Walau optimis, namun tetap hati-hati ekoran munculnya varian baru peringkat sejagat
Kadar pengangguran berkurang petanda baik pasaran pekerja
Trend kemerosotan kadar pengangguran adalah satu petanda baik bahawa pasaran pekerja terus pulih, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
"Kami tetap optimis namun secara berhati-hati tentang situasi ini kerana kami terus melihat kemunculan semula virus di seluruh dunia dan juga belum melihat kesan sepenuhnya sekatan Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat), yang bermula pada pertengahan Mei," kata Dr Tan dalam satu catatan di Facebook semalam.
Beliau menambah bahawa perjalanan menuju pemulihan mungkin akan mengambil masa yang lama.
"Sedang kami menyusun semula dan memperbaharui ekonomi agar kita boleh mewujudkan pekerjaan baik, saya menggesa perniagaan agar memanfaatkan sokongan sedia ada seperti Insentif Pertumbuhan Pekerjaan untuk memperluaskan pengambilan pekerja setempat, dan juga skim sedia ada untuk berinovasi dan mengubah proses kerja mereka," kata beliau yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.
"Pada masa yang sama, saya ingin mendorong para pemohon kerja, yang terus-menerus menunjukkan daya ketahanan dan kesediaan agar mencuba peranan dan sektor baru dalam masa sukar ini," tambah beliau.
Pemohon kerja yang memerlukan bantuan dalam usaha mencari pekerjaan boleh mendekati Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan WSG akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi ekonomi untuk mewujudkan peluang baru dan memadankan pekerja dengan pekerjaan tersebut, kata Dr Tan.
"Bersama, kita akan terus maju, ke arah jalan menuju pemulihan," kata beliau.
Para penganalisis berkata prospek perniagaan terus menggalakkan, lapor The Straits Times.
Namun, mereka mengetengahkan pelbagai ketidakpastian yang timbul dek kemunculan semula virus di luar negara dan juga kedudukan kewaspadaan dipertingkat Singapura.
Pengarah urusan NeXT Career Consulting Group, Encik Paul Heng, berkata syarikat telah meneruskan kegiatan pengambilan pekerja sejak awal tahun ini, didorong pelbagai campur tangan pemerintah untuk menguruskan penularan koronavirus.
"Masih terlalu awal untuk mengatakan dengan pasti apakah ini disebabkan keadaan pemulihan ekonomi kerana beberapa ekonomi utama masih berjuang menangani gelombang jangkitan berikutnya," tambah beliau.
Pengarah urusan PeopleWorldwide Consulting, Encik David Leong, berkata apa yang penting adalah pemudahan pekerjaan dan sokongan gaji yang mengekalkan pekerjaan buat rakyat Singapura.
"Tanpa campur tangan proaktif sedemikian, perangkaan ini mungkin tidak akan bertahan," kata beliau.
"Sedang kami menyusun semula dan memperbaharui ekonomi agar kita boleh mewujudkan pekerjaan baik, saya menggesa perniagaan agar memanfaatkan sokongan sedia ada seperti Insentif Pertumbuhan Pekerjaan untuk memperluaskan pengambilan pekerja setempat, dan juga skim sedia ada untuk berinovasi dan mengubah proses kerja mereka... Pada masa yang sama, saya ingin mendorong para pemohon kerja, yang terus-menerus menunjukkan daya ketahanan dan kesediaan agar mencuba peranan dan sektor baru dalam masa sukar ini... Bersama, kita akan terus maju, ke arah jalan menuju pemulihan." - Dr Tan See Leng, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.

