API menjilat seluruh kedai kopi di Tampines pada tengah hari Sabtu (7 Ogos) dalam sekelip mata.

Kebakaran dipercayai bermula di gerai sup ikan di kedai kopi yang terletak di Blok 823A, Tampines Street 81.

Encik Tan Yong Seng, 50 tahun, yang bekerja di kedai nasi ayam Wang's Roasted di kedai kopi itu memberitahu akhbar The Straits Times, kebakaran itu bermula sekitar 2 petang.

"Pekerja gerai sup ikan itu berlari segera dan saya cuba memadamkan api itu dengan seorang rakan sekerja dengan menggunakan air. Tetapi sejurus air itu dijirus ke arah api, ia semakin membaham dan merosakkan keseluruhan kedai kopi ini," tambahnya.

Menurutnya lagi, api itu mula merebak ke atas memasuki ruang lubang udara di atas dan di kesemua bahagian kedai kopi yang mempunyai sekitar 15 gerai.

Beliau dengan segera berteriak kepada semua orang agar melarikan diri daripada ruang tersebut dengan lubang udara itu meletup banyak kali.

Video kebakaran itu dikongsi di media sosial. Asap tebal yang menyusup masuk ke tingkat-tingkat atas tempat meletak kereta di atas kedai kopi itu kelihatan. Video lain turut menunjukkan serpihan dari siling kedai kopi yang turut dijilat api sedang bunyi letupan kuat kedengaran.

Dalam pos Facebook, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka diberitahu tentang kejadian itu sekitar 2.15 petang.

"Beberapa anggota awam cuba mengawal api yang membaham dengan tiga hos air.

"Berbekalkan pancuran air, anggota SCDF dengan peralatan pernafasan mereka meneruskan operasi mematikan api di kedai kopi yang terbakar itu secara berhati-hati," jelas SCDF.

Api dipadamkan dengan empat pancuran air dalam masa sejam.

Pemilik gerai dan pengunjung kedai kopi serta orang awam di kawasan itu dengan sendiri beredar daripada tempat itu sebelum ketibaan SCDF.

Tiada kecederaan dilaporkan sedang SCDF menyiasat punca kebakaran.

Dengan kelonggaran peraturan Covid-19 yang membolehkan orang ramai makan bersama di kedai kopi mulai 10 Ogos, Encik Tan berkata, pengendali gerai sepertinya terpaksa sabar menanti perniagaan mula semula dalam masa sekurang-kurangnya sebulan.

"Perniagaan sebelum ini masih laku walaupun pelanggan datang menempah makanan untuk dibawa pulang dan setiap orang pula menanti masa dapat makan di sini. Sayangnya, kebakaran ini berlaku tetapi tiada apa yang boleh kami buat," ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti