MEREKA mungkin mempunyai jadual seharian yang sibuk, namun mereka tetap memperuntukkan sedikit masa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.
Malah sukarelawan dari kawasan kejiranan Woodlands itu mempunyai satu tujuan yang sama - iaitu sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada penduduk lain yang memerlukan.
Dengan semangat inilah tercetusnya daya usaha yang membolehkan keluarga bergaji rendah di sekitar Woodlands memilih barangan makanan lebih sihat dan keperluan harian secara percuma setiap bulan.
Bagi tiga relawan, Cik Noor Yati Mohamed, Encik Wilkins Chew dan Encik Milton Koh, inisiatif Store@Woodlands`, yang terletak di Blok 852, Woodlands Street 83 memberi mereka peluang untuk lebih mendekati penduduk di sana.
Mereka merupakan sekumpulan sukarelawan yang akan meluangkan masa, menyingsing lengan, setiap petang Isnin dan Ahad terakhir setiap bulan, membantu menguruskan kedai mini mart baru itu.
Inisiatif itu adalah satu kerjasama antara Yayasan Masyarakat PAP di cawangan Woodlands dengan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Woodlands dan diterajui Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Ia dilancarkan secara rasminya pada 1 Ogos lalu.
Menurut Encik Koh, seorang usahawan dalam bidang khidmat binaan, Store@Woodlands adalah satu pendekatan baru dan lain daripada apa yang pernah mereka lakukan sebelum ini.
"Ini satu daya usaha bagus yang diusulkan Cik Mariam sendiri.
"Jika sebelum ini kita sering mengagihkan pek habuan yang berisi barangan keperluan asas seharian, kali ini kita cuba sesuatu yang berbeza, dengan membolehkan penduduk yang kurang berkemampuan untuk turun ke kedai ini dan memilih apa yang mereka perlukan seperti makanan yang lebih sihat," kata Encik Koh, 45 tahun, yang juga pengerusi Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF), CCC Woodlands.
Sejak ia mula beroperasi pada 5 Julai lalu, hampir 160 keluarga bergaji rendah di sekitar Woodlands telah berdaftar untuk menerima bantuan ini.
Mereka boleh memilih sehingga sembilan barangan secara percuma setiap bulan yang termasuk ayam atau daging beku, makanan dalam tin, pek minuman 3-dalam-1 seperti Milo dan kopi dan sayur-sayuran segar.
Selain sukarelawan, para penaja dan rakan kerjasama juga akan turut serta pada hari kedai itu dibuka, untuk memberikan bantuan.
Seorang lagi sukarelawan yang giat membantu dalam kerja kemasyarakatan di sekitar kawasan itu, Cik Noor Yati, 53 tahun, berkata banyak maklum balas positif yang telah diterima sejak mereka melancarkan kedai itu.
"Sambutan amat menggalakkan dan ramai di antara penduduk ini sering kali mengucapkan terima kasih kerana sediakan kemudahan seperti ini untuk mereka.
"Dan ini membuat kami sebagai sukarelawan lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik lagi untuk mereka.
"Kita juga dapat melihat semangat gotong-royong dalam kalangan sukarelawan kami, penaja dan juga penduduk lain yang turut menderma dalam menjayakan daya usaha ini," ujar suri rumah itu.
Sebagai antara sukarelawan baru bersama kawasan akar umbi itu, Encik Chew, 31 tahun, berkata beliau kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan rakan-rakan seperjuangannya itu.
Beliau yang dijemput Encik Koh untuk menjadi sukarelawan di kejiranan itu awal tahun ini, berkata:
"Saya telah terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan ini sejak saya masih berusia 14 tahun, bermula dengan gereja yang saya hadiri.
"Memandangkan saya penduduk Woodlands yang menetap di sini sejak berusia lapan tahun, saya anggap ini sebagai satu peluang untuk saya mengenali jiran-jiran serta penduduk di sekitar Woodlands dengan lebih dekat lagi dan dengan pengalaman yang saya ada, cuba untuk membantu mereka."
Dengan pengorbanan dan pahit manis yang telah dilalui bersama, ketiga-tiga sukarelawan itu bersependapat bahawa mereka boleh dianggap seperti sebuah keluarga besar yang mengongsi matlamat yang sama.
Justeru itu, mereka akan terus melakukan kerja-kerja kemasyarakatan ini untuk membantu para penduduk selagi mereka mampu dan diperlukan.
"Ia sesuatu yang memberi saya kebahagiaan, melihat usaha yang kami lakukan ini dihargai," ujar Cik Noor Yati.
Kedai mini mart itu dibuka setiap Isnin, dari 7 malam hingga 9 malam, dan Ahad terakhir pada setiap bulan, dari 1 petang hingga 3 petang.
Orang ramai boleh mendermakan barang untuk kedai itu di Kelab Masyarakat Woodlands atau pusat jawatankuasa penduduk terdekat di Woodlands.
"Jika sebelum ini kita sering mengagihkan pek habuan yang berisi barangan keperluan asas seharian, kali ini kita cuba sesuatu yang berbeza, dengan membolehkan penduduk yang kurang berkemampuan untuk turun ke kedai ini dan memilih apa yang mereka perlukan seperti makanan yang lebih sihat."
- Encik Milton Koh, pengerusi Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF), CCC Woodlands.
"Sambutan amat menggalakkan dan ramai di antara penduduk ini sering kali mengucapkan terima kasih kerana sediakan kemudahan seperti ini untuk mereka.
Kita juga dapat melihat semangat gotong-royong dalam kalangan sukarelawan kami, penaja dan juga penduduk lain yang turut menderma dalam menjayakan daya usaha ini."
- Cik Noor Yati Mohamed, suri rumah yang juga relawan Store@Woodlands.