KEMPEN mengurangkan pengambilan gula akan memanfaatkan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang bagi menggalak masyarakat Melayu mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Sepanjang kempen 'Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?' selama dua bulan itu, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan mendekati masyarakat dengan menyebarkan mesej seperti menggalak mengurangkan gula dalam minuman dan berhenti merokok.
Kempan itu dilancarkan Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, menerusi satu sesi penstriman langsung semalam.
Menjawab pertanyaan Berita Harian setelah sesi itu, Cik Rahayu berkata perjalanan memerangi penyakit kencing manis masih jauh, justeru masyarakat Melayu perlu melakukan lebih banyak bagi mengurangkan pengambilan gula, yang dapat membantu mengurangkan obesiti dan risiko kencing manis.
Beliau menukil perangkaan yang menunjukkan jumlah orang Melayu yang mengalami kencing manis meningkat daripada 11.6 peratus pada 2017 kepada 14.4 peratus pada 2020.
"Sedang kita menghayati semangat Ramadan, iaitu bersyukur, merendah hati dan menahan diri, marilah usah lupa peri penting kesejahteraan kita, serta kesejahteraan orang di sekeliling kita.
"Marilah ambil langkah bagi menunjukkan keprihatinan dan sayang kepada keluarga dan rakan kita dengan mengamalkan tabiat hidup lebih sihat, bermula Ramadan ini," kata Cik Rahayu dalam ucapannya.
Semasa kempen itu, mesej mengurangkan gula dalam minuman dan berhenti merokok akan disebar, antara lain, menerusi video resipi dan video oleh bekas perokok.
Oleh kerana Ramadan menyediakan peluang baik bagi mengubah kelaziman, perokok akan digalak menyertai program I Quit, yang mencabar mereka jangan merokok selama 28 hari.
Kali ini, program I Quit yang dipertingkat membolehkan perokok mencalonkan orang tersayang untuk menyokong mereka dalam usaha mereka berhenti merokok, kata HPB dalam satu kenyataannya.
Bagi meningkatkan kesedaran tentang pilihan makanan halal lebih sihat, pelanggan yang membeli makanan atau minuman lebih sihat bagi buka puasa dari cawangan yang menyertai Program Makan Lebih Sihat Halal, akan menerima sampul duit HPB. Peserta program itu termasuk Seoul Garden, Stuff'D, Prata Wala dan Penang Culture.
HPB juga akan bekerjasama dengan rakan masyarakat, termasuk Muhammadiyah, Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri dan masjid, untuk mengagih pek barang dapur lebih sihat kepada 8,500 keluarga berpendapatan rendah semasa Ramadan.