Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TOKOH MASYARAKAT

Hampir jadi guru, Sallim Jasman imbas tugas jadi kadi, hakim

Nov 17, 2019 | 05:30 AM



USTAZ Sallim Jasman cukup dikenali dalam masyarakat sebagai Kadi, dan kemudian sebagai Hakim dan Presiden di Mahkamah Syariah.



Beliau, yang usianya kini mencecah 75 tahun, telah menikahkan lebih kurang 50,000 pasangan sepanjang lebih lima dekad.



Tetapi mungkin tidak ramai yang ketahui Ustaz Sallim sebenarnya pernah mempertimbangkan pilihan kerjaya sebagai guru bahasa Melayu.



"Zaman saya dahulu, lulusan madrasah tak ramai. Yang balik dengan ijazah pun tak ramai.



"Kerja pun tak seperti sekarang. Sekarang mana-mana masjid ada MRO (pegawai agama masjid). Tak terbayang nak jadi Kadi atau Naib Kadi," ujar Ustaz Sallim.



WARISI PERJUANGAN BAPA



Tetapi sebenarnya, Ustaz Sallim, yang berdarah Jawa, dari kecil lagi didedahkan dan berminat untuk menceburi bidang agama.



Bapanya, Allahyarham Haji Jasman Haji Othman, merupakan seorang kiayi dari Indonesia, yang mengharapkan anaknya mewarisi perjuangan murni itu.



Ustaz Sallim, anak kelima dalam enam beradik, akhirnya menjadi satu-satunya daripada keluarganya yang tamat pengajian agama, sedang adik-beradiknya yang lain menjalani pendidikan sekular.



Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Aljunied. Rakan sekolah sezaman beliau waktu itu termasuk yang 'lebih senior' seperti Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Aljufrie, dan mantan Mufti Syed Isa Semait; serta Ustaz Pasuni Maulan, yang muda sedikit daripada Ustaz Sallim.



Kemudian, Ustaz Sallim meneruskan pengajian agama selama enam tahun di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor. Kolej itu kini menjadi sebahagian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.



Waktu itu, beliau merupakan antara dua penerima biasiswa Majlis Penasihat Islam yang wujud sebelum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Seorang lagi penerima biaiswa itu ialah Allahyarham Ustaz Zaiton Mohd Sharif.



Selain mengikuti pengajian agama di kolej itu, Ustaz Sallim mengambil Sijil Pelajaran Malaysia sebagai calon privet, dengan niat untuk menjadi guru bahasa Melayu.



Pulang ke Singapura, beliau mendapat tahu tiada kerja kosong sebagai guru bahasa Melayu.



Setelah sembilan bulan mencari kerja, beliau akhirnya menerima tawaran kerja tetap sebagai Kadi pada 1970.



"Saya terima sahaja (tawaran sebagai Kadi) walaupun saya rasa memang berat kerja itu," ujar Ustaz Sallim.



Dalam menjalankan tanggungjawab itu, beliau banyak mencedok pengalaman daripada orang lama, serta bertekad belajar kemahiran baru, termasuk kemahiran kaunseling.



Namun, tugas sebagai Kadi tidak sunyi daripada cabarannya.



PERISTIWA DITIKAM PALING PAHIT



Pada 1977, Ustaz Sallim ditikam oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengannya.



Mengimbas peristiwa itu, Ustaz Sallim berkata lelaki tersebut meminta supaya tarikh pernikahan pada sijil nikahnya diubah kerana beliau dan isterinya berkahwin setelah isterinya melahirkan anak.



Ustaz Sallim tidak menurut kehendaknya itu kerana ia melanggar peraturan.



"Itulah yang paling saya tak dapat lupakan. Paling pahit betul," ujarnya, yang dimasukkan ke hospital selama 11 hari akibat serangan itu.



Setelah lebih dua dekad berkhidmat sebagai Kadi, Ustaz Sallim kemudian dilantik sebagai Hakim dan Presiden Mahkamah Syariah.



"Saya menggigil (dapat tawaran itu). Jadi Hakim? Tak termimpi. Jadi Kadi dah takut. Akhirnya saya terima tawaran itu.



"Bagi saya, pengalaman jadi Kadi itulah yang bentuk dan persiapkan diri saya untuk jadi Hakim," ujarnya yang bersara dari Mahkamah Syariah pada 2006.



TETAP TABUR BAKTI



Namun, hingga kini Ustaz masih menabur bakti sebagai Naib Kadi secara sambilan pula, dan membimbing pasangan yang hendak atau baru berumah tangga.



"Saya selalu tanya pasangan yang ingin bernikah. Adakah kahwin ini sebab cinta, atau kerana rupa sahaja? Kalau ada matlamat tertentu, barulah boleh membawa rumah tangga itu ke tempat yang ingin dituju," ujar Ustaz Sallim, yang mempunyai lima orang anak, dan 10 cucu.



Seorang anaknya, Ustaz Ma'az Sallim, juga seorang Naib Kadi.



Ustaz Sallim berkata kesihatannya baik sejak dipasang alat perentak jantung atau pacemaker tiga tahun lalu selepas beliau sering lemah dan pening.



Beliau juga masih aktif mengajar di masjid-masjid setempat.



"Dengan itu, ilmu kita pun berkembang. Kita dapat campur dengan masyarakat. Kita boleh sumbang apa yang kita ada.



"Walaupun tak kuat, kita ingat kita khidmat kepada masyarakat. Khidmat kita pun kerana Allah, jadi Allah bantu kita," ujar Ustaz Sallim.




KERJAYA CEMERLANG



Ustaz Sallim Jasman, 75 tahun



KELUARGA:



- Lima anak dan 10 cucu

- Seorang anaknya, Ustaz Ma'az Sallim, kini juga Naib Kadi



KERJAYA



- 1970-1994: Kadi Pejabat Pendaftar Pernikahan (ROMM)

- 1994-2006: Presiden dan kemudian Presiden Kanan Mahkamah Syariah

- Kini masih berkhidmat sebagai Naib Kadi, ROMM



LULUSAN



- Madrasah Aljunied Al-Islamiah

- Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor



ANTARA PENGIKTIRAFAN



- Anugerah Obor Ummah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) (2018)

- Pingat Bakti Setia (1998) dalam perkhidmatan awam




PERNAH DITIKAM



"Itulah yang paling saya tak dapat lupakan. Paling pahit betul."
- Uztaz Sallim mengenai insiden ditikam oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengannya pada 1977.



'MENGGIGIL' DIBUATNYA



"Saya menggigil (dapat tawaran itu). Jadi Hakim? Tak termimpi. Jadi Kadi dah takut. Akhirnya saya terima tawaran itu. Bagi saya, pengalaman jadi Kadi itulah yang bentuk dan persiapkan diri saya untuk jadi Hakim."
- Ustaz Sallim mengenai tawaran menjadi Hakim dan Presiden Mahkamah Syariah.



 



* Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >