Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kesan perubahan iklim lebih besar boleh landa S'pura: Laporan IPCC

Aug 11, 2021 | 05:30 AM



KESAN perubahan iklim yang paling teruk pada masa ini berlaku di tempat-tempat lain, tetapi satu laporan yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan Singapura juga harus membuat persediaan bagi mengharungi keadaan lebih buruk di masa depan.



Laporan itu berkata, jika pengeluaran asap yang menyebabkan penghangatan bumi tidak dikurangkan kepada paras sifar - selepas mengambil kira faktor lain - menjelang 2050, lebih banyak kejadian gelombang haba atau heatwave, banjir di kawasan pantai dan hujan lebat boleh berlaku di sini.



"Bandar-bandar menjadikan iklim lebih hangat kerana manusia yang tinggal di sana dan usaha pembinaan bandar yang diteruskan, bersama kejadian cuaca panas ekstrem yang berlaku, akan menambah kesan gelombang haba," kata Panel Silang Pemerintah bagi Perubahan Iklim (IPCC) dalam rumusannya bagi penggubal dasar yang diterbitkan kelmarin.



Buat masa ini, Singapura telah mengalami cuaca lebih panas yang melebihi purata dunia kerana kesan haba di bandar - fenomena di mana bangunan di bandar menjerat haba pada siang hari dan melepaskannya di waktu malam.



Suhu di sini adalah 1.8 darjah Celsius lebih tinggi berbanding pada 1948, menurut data dari Pusat Kaji Cuaca Singapura (MSS).



Secara perbandingan, suhu sedunia telah bertambah sekitar 1.1 darjah Celsius dari era praperusahaan yang berakhir sekitar 1850.



Juga, Pusat bagi Penyelidikan Iklim Singapura, sebuah unit di bawah MSS, berkata laporan terkini itu menyatakan suhu lebih tinggi boleh dirasai di sini dalam dekad akan datang.



Laporan ini diterbitkan sedang Singapura berusaha menjadikan kota ini lebih sejuk dengan menanam lebih banyak pokok di kawasan bandar, dan program rintis melibatkan 130 blok HDB di Tampines yang dicat dengan cat yang boleh memantul haba.



Namun, saintis iklim Winston Chow dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata suhu lebih 35 darjah Celsius di Singapura adalah pengalaman kurang selesa bagi ramai penduduk kerana sekitaran lembap di sini.



Profesor Chow, seorang pakar dalam kesan perubahan iklim ke atas bandar, berkata keadaan lembap ini menambah rasa tidak selesa yang disebabkan cuaca panas.



Menurut beliau, meskipun manusia boleh menyesuaikan gaya hidup dengan menggunakan alat hawa dingin dan berteduh, tanam-tanaman dan haiwan tidak boleh berbuat demikian.



"Pohon-pohon dan haiwan di darat dan laut tidak boleh berbuat demikian jika cuaca panas berlanjutan berlaku," kata beliau, yang turut menyumbang kepada laporan IPCC itu.



Satu lagi ukuran yang menunjukkan perubahan iklim di sini adalah paras pasang surut laut yang meningkat.



Apabila suhu dunia bertambah, air di lautan 'mengembang' dan ais di darat mencair, menyebabkan paras laut menjadi lebih tinggi.



Mengikut jangkaan purata sedunia dalam laporan terkini, paras laut yang meningkat sekitar satu meter menjelang 2100 tidak begitu berbeza dengan yang dilaporkan dalam laporan IPCC sebelum ini.



Namun, ada maklumat tambahan mengenai kejadian ekstrem berhubung paras laut yang dianggap mempunyai kemungkinan rendah berlaku, tetapi boleh menyebabkan kerosakan besar jika ia terjadi.



IPCC berkata: "Kejadian ekstrem berhubung paras laut yang dahulu berlaku sekali setiap abad kini dijangka berlaku sekurang-kurangnya setahun sekali di lebih separuh daripada tempat-tempat di mana paras laut diukur menjelang 2100."



Di tempat-tempat ini, saintis mengawasi perubahan paras laut.



Pusat Penyelidikan Iklim Singapura berkata bongkah ais marin yang kurang stabil - yang menyekat ais di darat daripada memasuki lautan - boleh menyebabkan paras air laut meningkat lebih satu meter menjelang akhir abad ke-21, sekali gus menambah kepada kenaikan purata paras air laut yang dijangka.



Pengarah Balai Cerap Bumi Singapura di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Benjamin Horton, yang juga editor yang menyemak bahagian laporan IPCC mengenai perubahan paras laut, berkata perkara ini masih terus dikaji.



Beliau berkata pada masa ini, ada banyak ketidaktentuan kerana ramalan yang dilakukan adalah berdasarkan pengawasan yang tidak mencukupi.



Namun, Profesor Horton berkata satu keprihatinan di masa depan adalah apabila dua lapisan ais yang besar di Greenland dan Antartika mencair.



Beliau berkata ukuran yang dilakukan menggunakan satelit menunjukkan kadar pencairan di kededua tempat ini telah meningkat.



Jika semua ais di Greenland mencair, paras air laut sedunia akan meningkat tujuh meter, kata beliau.



"Antartika seluas 20,000 kali ganda berbanding Singapura dan setebal dua hingga tiga kilometer, dan mempunyai air yang mencukupi untuk menambah paras air laut sebanyak 65 meter.



"Ini lebih tinggi daripada sepertiga ketinggian Singapore Flyer dan tujuh kali lebih tinggi berbanding arca Merlion. Jika hanya beberapa peratusan lapisan ais ini mencair, kesannya adalah dahsyat," ujar Profesor Horton.



Berhubung hujan pula, IPCC berkata secara umum, keadaan hujan boleh menjadi lebih lebat dan kerap, selaras dengan suhu dunia yang bertambah.



Ini juga akan berlaku di Asia Tenggara, di mana banjir kilat boleh berlaku jika tanah ditutupi konkrit dan sistem penyaluran air tidak dapat menampung hujan lebat.



Namun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada Singapura akan mengalami kesan ini.



Ini kerana hujan yang turut bergantung pada beberapa faktor, termasuk tanam-tanaman dan keadaan tanah di sesuatu tempat.



Jurucakap MSS berkata, sains berhubung perubahan iklim masih berubah dan ia akan terus menjalankan kajian, termasuk kesannya ke atas cuaca di sini.



Laporan IPCC yang terkini itu mengandungi lebih 1,000 muka surat dan dihasilkan oleh Kumpulan Kerja 1 IPCC, yang meninjau bukti fizikal perubahan iklim, lapor The Straits Times (ST).



Ia adalah yang pertama daripada tiga laporan yang akan merangkumi Laporan Penilaian Keenam IPCC yang akan diterbitkan tahun depan.



Pusat Penyelidikan Iklim Singapura berkata ia sedang mengkaji laporan terkini IPCC, termasuk untuk menilainya mengikut konteks negara.



Jurucakap MSS berkata, kajian perubahan iklim ketiga nasional Singapura dijangka dilengkapkan pada akhir tahun depan.




"Antartika seluas 20,000 kali ganda berbanding Singapura dan setebal dua hingga tiga kilometer, dan mempunyai air yang mencukupi untuk menambah paras air laut sebanyak 65 meter. Ini lebih tinggi daripada sepertiga ketinggian Singapore Flyer dan tujuh kali lebih tinggi berbanding arca Merlion. Jika hanya beberapa peratusan lapisan ais ini mencair, kesannya adalah dahsyat.''
- Profesor Benjamin Horton, Pengarah Balai Cerap Bumi Singapura di Universiti Teknologi Nanyang (NTU)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >