Khutbah seru Muslim hulur bantuan bagi mangsa bencana Sulawesi

UMAT Islam diseru supaya menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia, semampu mungkin dan seikhlasnya memandangkan korban jiwa bencana alam itu sudah melebihi 1,300 jiwa.

Membuat gesaan demikian sempena kutipan bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Sulawesi, khatib Masjid Muhajirin, Ustaz Mohammad Khalid Mohd Rafi, berkata korban jiwa dikhuatiri akan bertambah.

"Hulurkan bantuan kita semampu mungkin dan dengan seikhlasnya," kata beliau sambil memetik hadis yang menyatakan tentang kesempurnaan iman ialah orang yang menyayangi saudaranya sebagaimana mereka mencintai diri dan keluarganya sendiri.

"Sebagaimana kita mahukan keselamatan dan perlindungan pada diri, keluarga dan harta kita, kita juga mahukan yang sama kepada saudara kita di mana juga mereka berada, di rantau ini atau di pelosok lain dunia.

"Kita mahukan kedamaian dan keselamatan kepada setiap orang," kata beliau semasa menyampaikan khutbah di masjid yang terletak di Toa Payoh semalam.

Mangsa bencana alam itu sedang mengharungi kepayahan hidup, ujarnya.

Lantaran itu, Yayasan Rahmatan Lil 'Alamin (RLAF) sedang mengusahakan pungutan derma bagi membantu mereka yang terjejas.

Kotak derma bagi kutipan khas yang ditandakan 'In Aid of Survivors of Sulawesi Earthquake and Tsunami' (Bagi Bantuan Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi) diletakkan di semua 70 masjid di Singapura sehingga 11 Oktober ini.

"Semoga sumbangan ikhlas kita dapat memberi sinaran hidup, harapan dan kekuatan kepada mereka yang terjejas meneruskan kehidupan," katanya.

Dalam satu kenyataan media haru-baru ini, RLAF menyatakan ia juga menjalankan kutipan dalam talian di laman web Muis https://www.zakat.sg/ePayment/donations.aspx dari 3 hingga 11 Oktober.

Orang ramai juga boleh menderma secara tunai atau cek yang dibayar kepada 'RLAF' dan ditulis 'In Aid of Survivors of Sulawesi Earthquake and Tsunami' di belakangnya.

Derma tunai dan cek boleh dihantar kepada Pejabat RLAF di alamat Masjid Yusof Ishak, Tingkat 4, 10 Woodlands Drive 17, Singapura 737740; atau Muis di alamat Hub Islam Singapura, 273 Braddell Road, Singapura 579702.


 USAHA BANTUAN PIHAK LAIN

AQUAYANA

Firma huraian air Singapura, Aquayana, tiba di Palu, Sulawesi kelmarin untuk menyokong usaha bantuan mitigasi bencana selepas gempa dan tsunami melanda.

Pasukan tiga orang Aquayana, yang termasuk sukarelawan teknikal dari HSL Constructor, membuat perjalanan darat selama 20 jam dari Makassar, Provinsi Sulawesi Selatan ke daerah Palu, Provinsi Sulawesi Tengah yang dilanda gempa dan tsunami.

Pasukan itu membawa bersama dua unit rawatan air mudah alih bagi membantu menangani keperluan akut untuk mendapatkan bekalan air minuman.

Mereka turut mengedarkan bekas yang boleh dikembungkan bagi menampung air bersih yang boleh dibawa dan dikumpulkan oleh mangsa yang terselamat.

Ketua Eksekutif Aquayana, Encik Hassan Ahmad, yang mengetuai misi bantuan tersebut, menceritakan:

"Skala kehancuran sangat besar terutama di daerah Donggala, Palu dan Sigi.

" Akses ke kawasan-kawasan yang terjejas merupakan cabaran besar akibat jalan yang rosak teruk disebabkan oleh gempa dan serpihan besar yang ditinggalkan oleh tsunami.

"Elektrik juga terputus akibat grid kuasa yang rosak."

Alat air buatan Singapura yang direka khusus untuk bantuan bencana dan lebih dikenali sebagai Suitcase Saver, adalah sistem rawatan ringan (30 kilogram) yang mampu menghasilkan 500 liter air minuman setiap jam.

MERCY RELIEF

Orang ramai boleh menderma menerusi cara berikut:

  • Kad kredit di laman www.mercyrelief.org
    Derma secara tunai ke pejabat Mercy Relief di Blok 160, Lorong 1 Toa Payoh, #01-1568, Singapura 310160.
  • Hantarkan cek atas nama 'Mercy Relief Limited' dengan 'Sulawesi Earthquake 2018 Relief' serta alamat e-mel penderma ditulis di belakang cek dan kirimkan ke alamat di atas.
  • Pindahan dana ke Akaun Semasa (Current Account) DBS Mercy Relief 054-900741-2
  • Menerusi wadah giving.sg bagi 'Sulawesi Earthquake 2018 Relief' di laman https://www.giving.sg/mercy-relief/sulawesi_earthquake_2018

PERSATUAN PALANG MERAH SINGAPURA

Palang Merah Singapura juga telah melancarkan rayuan mengumpul dana bagi membeli barangan bantuan seperti bekalan pertolongan cemas, kit kebersihan, sistem air, kelambu, selimut dan alas tidur bagi mangsa, serta usaha pembangunan

semula dan pemulihan jangka panjang.

Mereka yang ingin menderma boleh:

  • Ke Red Cross House, 15 Penang Lane, Singapura 238486, pada waktu pejabat (Isnin hingga Jumaat: 9 pagi hingga 6 petang).
  • Hantarkan cek atas nama 'Singapore Red Cross Society' ke alamat di atas. Sertakan nama, alamat dan tulis 'Sulawesi Earthquake 2018' di belakang cek.
  • Derma melalui dalam talian di laman redcross.give.asia/sulawesi.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.