Topik diikuti
Pergi ke BHkuKolej NUS dirasmi
Perlu persiap pelajar dengan kemahiran dan pemikiran agar kekal berdaya saing: Chun Sing
MAKTAB kepujian pertama Singapura, Kolej NUS telah dilancarkan di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Isnin.
Kolej itu, yang telah mengambil pelajar tahun satu buat kali pertama pada Ogos 2022, merupakan kolej antara disiplin NUS yang ketiga.
Kolej itu bertujuan memperluas lagi peluang pembelajaran antara disiplin bagi para pelajar.
Menghadiri pelancaran Kolej NUS pada Isnin, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menyatakan siswazah kini memerlukan kemahiran dan cara pemikiran agar kekal berdaya saing dan berkembang maju dalam sekitaran kompleks sedang dunia menjadi lebih terhubung dan lebih berpecah belah.
Beliau menambah bahawa sekolah-sekolah seperti Kolej NUS semestinya mempersiap siswazah bagi menangani cabaran melalui pengalaman dan pembelajaran antara disiplin, lampiran bekerja dalam industri serta pengalaman sejagat.
"Khususnya, saya ingin menggalakkan kolej ini dan para pelajar supaya memupuk hubungan kukuh dengan Asean dan membangunkan pemahaman lebih baik mengenai rantau kita," kata Encik Chan.
Kolej NUS telah mereka bentuk kurikulum bersama antara disiplin yang menyeluruh dan mempunyai saiz kelas yang kecil.
Disepadukan sepenuhnya ke dalam ekosistem NUS yang lebih besar, para pelajar mempunyai akses kepada pelbagai jurusan, pengkhususan dan program lain serta kemudahan dan peluang merentasi seluruh universiti.
Kolej itu mengambil sekitar 6 hingga 7 peratus daripada kohort sarjana muda NUS setiap tahun dan menawarkan pengalaman yang kaya untuk setiap pelajar.
Semasa berucap dalam majlis pelancaran itu, Profesor Tan Eng Chye, Presiden NUS, berkata Kolej NUS telah bermula secara kukuh, dengan pelajar daripada latar belakang akademik, sosioekonomi dan budaya yang pelbagai.
"Kolej ini bertujuan menawarkan pelajar lebih banyak peluang untuk ketegasan akademik antara disiplin dengan lebih tumpuan kepada pengetahuan dan kemahiran dunia sebenar, serta keupayaan menggunakan apa yang mereka pelajari di luar bilik darjah," kata beliau.
Setiap pelajar kolej NUS tergolong dalam fakulti disiplin di mana mereka mengikuti bidang pilihan mereka secara mendalam untuk mendapatkan ijazah mereka.
Para pelajar itu akan mempelajari sepertiga daripada kurikulum mereka di kolej, di mana mereka akan menerokainya dalam isu masyarakat sebenar, memahami kerumitan yang terlibat dan membangunkan penyelesaian inovatif melalui program Pengalaman Berkesan (IEx).
Program dua tahun itu memberikan pelajar peluang meneroka dan melibatkan diri dalam bidang yang mereka minati untuk membawa kesan positif yang berkekalan dalam masyarakat.
Sekitar 380 pelajar daripada kohort pertama Kolej NUS itu akan mengusahakan secara berkumpulan lebih 60 projek IEx yang merangkumi isu sosial seperti pemuliharaan alam sekitar dan budaya, penjagaan kesihatan dan akses perumahan, serta kepelbagaian dan keterangkuman dalam kedua-dua konteks setempat dan serantau.
Sepertiga daripada projek itu akan berakar umbi di Asia Tenggara - termasuk Thailand, Malaysia dan Kemboja - dan pelajar akan mula mengusahakannya pada separuh kedua 2023.
Selain program IEx, satu lagi program Kolej NUS, Program Pengalaman Global (GEx) turut dipamerkan pada majlis pelancaran itu.
Dalam program GEx itu, para pelajar berpeluang mengadakan lawatan sambil belajar, menghadiri kelas sarjana dan belajar daripada pakar akademik, penyelidik, usahawan, syarikat pemula niaga dan institusi komuniti di bandar sejagat di seluruh dunia.
